AntarabangsaIsu SemasaPolitik

Korea Utara Semakin “Terdesak”

Korea Utara dilihat semakin “terdesak” selepas dikenakan pelbagai sekatan oleh komuniti antarabangsa.

Baru-baru ini, eksport makanan dari China ke Korea Utara dilaporkan telah meningkat dengan drastik sejak tahun lalu, dan insiden ini merupakan petanda bahawa rejim tersebut semakin bergantung terhadap satu-satunya sekutu mereka itu.

Berdasarkan data kastam China, terdapat peningkatan eksport dalam hampir 30 barangan, di mana eksport jagung meningkat sebanyak 32 kali ganda daripada 400 tan kepada hampir 12,724 tan.

Selain itu, eksport pisang turut meningkat daripada 63.4 tan kepada 1,156 tan manakala serbuk gandum pula daripada kurang 0.6 tan kepada 7.6 tan.

Eksport arak (Spirit) pula menyaksikan peningkatan 4 kali ganda daripada 2.1 juta liter kepada 9.5 juta liter pada suku kedua tahun ini berbanding tempoh yang sama pada tahun 2016.

Agensi berita The Korea Times melaporkan bahawa eksport barang-barang lain seperti bir, kuih, coklat, roti dan biskut juga meningkat.

Rakyat Korea Utara yang mengalami kebuluran – Sumber: www.koreatimes.co.kr

Namun begitu, kastam China tidak mempunyai data menyeluruh mengenai eksport beras, namun data yang berjaya diperoleh menunjukkan kenaikan drastik tahun ke tahun daripada 3.5 juta tandalam suku kedua 2016 kepada lebih daripada 11 juta tan pada suku kedua tahun ini.

Walaupun komuniti antarabangsa bersetuju untuk “menghukum” Korea Utara atas program nuklear mereka, sekatan eksport makanan tidak termasuk dalam senarai sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk memastikan taraf hidup minimum bagi rakyat negara itu.

Tetapi, China mengambil langkah menyekat import makanan laut Korea Utara sekali gus memotong aliran pendapatan yang menjana AS$ 190 juta (RM 815 juta) untuk Pyongyang pada tahun lepas.

Selain daripada sekatan antarabangsa, peningkatan eksport ke negara itu juga bertambah buruk akibat kekurangan pengeluaran makanan yang disebabkan oleh bencana alam seperti banjir.

Menurut PBB, Korea Utara telah berhadapan krisis makanan berlarutan sejak tahun 1990-an.

2 daripada 5 rakyat negara itu tidak mendapat nutrisi yang cukup dan lebih daripada 70% populasi terpaksa bergantung kepada bantuan makanan.

Laporan PBB pada bulan Mac menunjukkan kira-kira 18 juta orang di seluruh Korea Utara terus merana akibat kekurangan makanan serta perkhidmatan asas.

Kim Jong-un dan isterinya – Sumber: www.dailymail.co.uk

Pakar berkata, eksport makanan China kepada Korea Utara yang semakin meningkat ini mungkin petanda bahawa Pyongyang sedang berhadapan kelembapan ekonomi dan terpaksa bergantung kepada sekutu mereka untuk bantuan makanan.

“Peningkatan (eksport) ini boleh berpunca oleh permintaan pasaran yang lebih besar dari Korea Utara, memandangkan ekonominya semakin pulih secara perlahan dan pasaran gelap juga berkembang dengan pesat,” kata Cai Jian, pakar Sino-Korea Utara dari Fudan University di Shanghai.

“Ia juga menunjukkan Pyongyang semakin bergantung ke atas Beijing, memandangkan mereka tidak boleh mengimport barangan dengan bebas dari negara-negara lain,” tambahnya.

Dalam pada itu, Justin Hastings, seorang pakar perhubungan antarabangsa berkata, peningkatan perdagangan makanan antara Korea Utara dan China tidak bermakna taraf hidup rakyat semakin baik.

“Pelbagai jenis makanan disalurkan kepada tentera dan golongan elit di Pyongyang…tetapi rakyat di kawasan pedalaman masih kebulur,” kata Hastings.

Ujar beliau lagi, walaupun pelbagai jenis makanan diimport, ia tidak bermakna krisis makanan tidak wujud di negara itu.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker