FesyenGaya Hidup

Puteri Diana – Ikon Fesyen Sepanjang Zaman

Puteri Diana merevolusikan kod pakaian diraja dengan bantuan beberapa pereka terbaik dalam kehidupan glamornya yang berakhir tragis 20 tahun lalu. Diana telah menjadi ikon fesyen yang elegan dan masih relevan tanpa mengira zaman seperti Jackie Kennedy dan Audrey Hepburn.

Dikenali sebagai “Shy Di” menjelang perkahwinannya dengan Putera Charles pada tahun 1981, Diana mula bangkit dan menyedari bahawa pakaiannya boleh digunakan sebagai alat komunikasi yang kuat.

Tulis Globaltimes, puteri itu belajar mengenakan pakaian yang tidak terlalu mengikut protokal istana dan menguasai seni memakai pakaian yang sesuai mengikut majlis dan acara yang dihadiri. Beliau sering mengenakan pakaian berwarna terang ketika lawatan agar kelihatan mesra dan mudah dilihat.

puteri diana dalam gaun travolta

Ketika lawatan ke luar negara, Puteri Diana akan memilih pakaian yang diilhamkan oleh warna kebangsaan seperti pakaian putih dengan bintik-bintik merah yang digayakan di Jepun pada tahun 1986. Diana memilih untuk tidak memakai sarung tangan kerana beliau gemar bersalaman dengan orang yang ditemui.

Puteri itu memahami peraturan perhiasan diraja tetapi tidak takut untuk merevolusikannya. Beliau melanggar protokol diraja dengan memakai gaun hitam, warna yang dipakai secara rasmi oleh wanita diraja hanya semasa berkabung.

Fesyennya juga termasuklah memakai pakaian yang biasanya dipakai lelaki seperti tuksedo dan tali leher. Diana merupakan wanita pertama dalam keluarga diraja yang memakai seluar untuk acara malam rasmi.

Gaun malam yang direka Victor Edelstein yang dipakai ketika makan malam di White House pada tahun 1985 adalah salah satu yang paling terkenal. Dikenali sebagai gaun Travolta, ia juga mempunyai laman Wikipedia sendiri dan dijual dengan harga £ 240,000 pada tahun 2013.

puteri diana menggayakan tuksedo

Selepas perceraiannya dengan Putera Charles pada tahun 1996, Diana sekali lagi menukar gayanya dengan meninggalkan pereka British dan memilih pereka fesyen antarabangsa seperti Dior, Lacroix atau Chanel.

Selama bertahun-tahun, puteri Wales ini adalah satu-satunya obsesi fesyen di dunia. Penampilan Diana dijadikan ilham secara meluas dan masih memberi inspirasi kepada pereka fesyen masa kini. Jenama pakaian dalam talian, ASOS melancarkan koleksi yang diilhamkan oleh Puteri Diana pada bulan Oktober 2016.

Gaya Puteri Diana juga turut memberi kesan dalam era media sosial. Akaun Instagram bernama Princess Diana Forever yang mempunyai 160,000 pengikut menyiarkan gambar hariannya dalam pelbagai pakaian, menjadikan Puteri itu ikon fesyen dulu, kini dan selamanya.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close