Isu SemasaTempatan

Kaum Hawa di Malaysia Hidup Lebih Lama Daripada Golongan Lelaki

Rakyat Malaysia kini hidup lebih lama dengan kaum hawa menikmati jangka hayat yang lebih lama daripada lelaki. Lebih spesifik, lima tahun lebih lama daripada golongan lelaki, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.

Penemuan ini berdasarkan data jangka hayat yang telah dianalisis oleh Jabatan Perangkaan, tambahnya lagi.

Terdapat peningkatan dalam jangka hayat bagi wanita dan lelaki

“Jangka hayat rakyat Malaysia pada tahun 2017 telah meningkat kepada 78.8 tahun. Apa yang menarik adalah wanita di sini hidup lebih lama daripada golongan lelaki, “katanya ketika melancarkan data ‘Malaysia In Figures’ (Malaysia Dalam Angka)  penemuan Jabatan Perangkaan beberapa hari lalu.

Jangka hayat rakyat Malaysia telah meningkat sebanyak empat tahun,  dari usia 74.7 tahun pada  tahun lepas.

Jangka hayat bagi wanita adalah 77.4 tahun berbanding 72.7 tahun bagi golongan lelaki.

Lapor The Star, data tersebut juga mendedahkan, di negara ini terdapat seorang bayi yang dilahirkan pada setiap minit manakala 18 kematian direkodkan bagi setiap satu jam.

Bilangan rakyat Malaysia 32.1 juta  

Abdul Rahman berkata Malaysia kini mempunyai lebih 32.1 juta penduduk setakat Jun tahun ini.

Beliau berkata data itu juga mendedahkan bahawa kira-kira 15.3% daripada penduduk akan tergolong dalam kategori ‘berumur’ dan Malaysia akan menjadi negara ‘berumur’ menjelang 2030.

Menurut beliau lagi, “ini adalah sebab mengapa kita perlu mula merancang dari sekarang tentang pembinaan jenis rumah dan kemudahan yang sesuai untuk menampung penduduk yang semakin tua,”.

Tentang ekonomi negara pula, Abdul Rahman berkata ia mengalami peningkatan sebanyak 4.2%.

“KDNK negara berkembang sebanyak 5.6% pada suku pertama tahun ini berbanding 4.5% bagi tempoh yang sama pada tahun lepas,” katanya.

Beliau optimis pertumbuhan ekonomi bagi suku kedua tahun ini akan menampakkan penambahbaikan apabila angka terbaru akan diumumkan Jumaat ini.

Data Malaysia in Figures versi salinan lembut boleh diakses menerusi laman web Jabatan Perangkaan, versi bercetaknya pula boleh didapati di institusi-insitusi pengajian tinggi.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button