Isu Semasa

Trend Berpisah Di Media Sosial Kian Menjadi-jadi

Ia merupakan trend terkini untuk berkongsi kisah duka pasangan yang secara langsung memberitahu kepada orang ramai “saya dan dia sudah berpisah”.

Perkara ini bukan sahaja berlaku di kalangan selebriti antarabangsa dan tempatan tetapi ia juga berlaku di kalangan orang biasa.

Mungkin tidak semua orang suka berkongsi kisah duka apatah lagi tentang keretakan rumah tangga sendiri namun sekarang ini ia seperti perkara biasa untuk salah seorang daripada pasangan yang melalui keretakan untuk berkongsi masalah dalaman mereka.

Menurut Prof Madya Dr Muhammad Najib Mohammad Alwi, Pengarah Pusat Kajian Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya seperti yang dilaporkan dalam TheStar, perkara ini biasanya berlaku untuk mendapatkan sokongan emosi, pemahaman dan persetujuan daripada kalangan rakan-rakan walaupun rakan sosial media ini kebanyakannya tidak mengenali diri mereka secara peribadi.

Namun, apa yang peliknya ialah rakan sosial media inilah adakalanya yang muncul sebagai penyokong mereka dan sekali gus membuat si pengadu merasa lebih tenang setelah perkongsian di media sosial.

Walau bagaimanapun, tidak dinafikan perkongsian berita sebegini boleh juga mengundang perkara negatif di mana ia boleh menyebabkan perhubungan di antara pasangan tersebut lebih teruk dan spekulasi mula timbul dikalangan pengikut tentang pergolakan yang berlaku.

Dr Muhammad Najib berkata walaupun perkongsian berita perpisahan di media sosial ini terdapat positif dan negatif, ia pastinya akan memberitahu ahli keluarga, rakan-rakan dan pengikut mereka tentang status diri dan menamatkan spekulasi orang ramai tentang situasi yang berlaku. Ini juga dapat memudahkan individu tersebut untuk terus menjalani kehidupan seperti biasa dan melupakan kisah lama.

Manusia ciptaan Tuhan ini mempunyai keperibadian masing-masing. Ada yang suka meluahkan perasaan anda yang suka simpan dan pendam. Walau apapun peribadi anda, perbincangan dengan bersemuka adalah penting untuk meredakan ketegangan. Pergaduhan adalah perkara biasa dan merupakan asam garam kehidupan.

Seperti lirik lagu Puan Sri Saloma, ‘Sedangkan lidah lagi tergigit’

Sedangkan lidah lagi tergigit
Apa pula suami isteri

Buang yang keruh ambil yang jernih
Baru teguh peribadi

Apa guna kita bertengkar
Suami isteri harus bersabar

Kasih sayang rukun dan damai
Hidup seperti dalam mahligai
Maaf hamba wahai dinda

Buang yang keruh ambil yang jernih
Baru teguh peribadi

Suami isteri mesti berpakat
Rumah tangga mendapat berkat

Apa guna selisih faham
Kalau kini aman tenteram
Pohon ampun wahai kanda

Buang yang keruh ambil yang jernih
Baru teguh peribadi

Semoga ketegangan dan kekusutan yang berlaku dapat diselesaikan secara baik dan saling hormat-menghormati.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close