AntarabangsaIsu SemasaPolitik

AS Boleh Berdamai Dengan Korea Utara

Pada hari Khamis, pengerusi Ketua Turus Bersama Amerika Syarikat (AS), Jeneral Joe Dunford berkata, “perdamaian bersama Korea Utara adalah tidak mustahil”.

Walau bagaimanapun, beliau turut memberi amaran bahawa AS mempunyai “pilihan ketenteraan yang kredibel dan berdaya maju” untuk menangani rejim itu jika terpaksa.

Menurut Dunford, AS tidak mempunyai mempunyai sebarang rancangan untuk meneruskan latihan ketenteraan bersama Korea Selatan, di mana langkah tersebut telah mencetuskan kemarahan China dan Korea Utara.

“Apa yang tidak boleh dibayangkan oleh saya bukanlah pilihan ketenteraan.

“Apa yang tidak boleh dibayangkan adalah membenarkan (Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un) untuk membangunkan peluru berpandu balistik dengan kepala peledak nuklear yang boleh mengancam Amerika Syarikat dan terus mengancam rantau itu,” katanya.

Sementara itu, Presiden Korea Selatan, Moon Jae-In berikrar “tidak akan berlaku sebarang peperangan” di semenanjung berkenaan.

Dunford juga mengakui bahawa jalan penyelesaian melalui operasi ketenteraan akan mendatangkan kesan yang amat “mengerikan”, namun ia hanya akan dilaksanakan sekiranya tekanan diplomatik dan ekonomi gagal untuk membuka jalan bagi mengadakan dialog politik.

“Saya percaya sekarang bahawa perjalanan masih jauh, tetapi kita berada pada jalan yang mempunyai kemungkinan (untuk perdamaian) — dan saya berharap ada kemungkinan untuk kita menyelesaikan ini dengan aman,” ujar beliau.

AS sebelum ini telah menuduh China tidak meletakkan usaha yang cukup untuk mengekang rejim Kim Jong-un.

Tetapi pada hari Selasa, China mula mengenakan sekatan terhadap Korea Utara, dengan melarang import besi, bijih besi, dan makanan laut, iaitu sebahagian daripada resolusi Majlis Keselamatan PBB yang diluluskan awal bulan ini.

Memetik laporan Times of India, China merupakan sekutu terbesar Korea Utara, di mana 90% perdagangan rejim itu bergantung kepada Beijing.

“Laporan yang saya dengar sejak saya pergi ke Beijing adalah positif dari segi komitment China untuk menguatkuasakan sekatan-sekatan tersebut,” kata Dunford.

Namun, beliau masih menggesa China untuk meningkatkan tekanan ke atas Pyongyang.

Ketegangan di antara AS dan Korea utara menjadi semakin hangat sejak Presiden Donald Trump memberi amaran bahawa Pyongyang akan menghadapi “api dan kemarahan” (fire and fury) sekiranya negara itu terus mengancam AS dan negara-negara lain dengan senjata nuklear dan peluru berpandu.

 

 

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close