AntarabangsaMakan & Minum

Switzerland Jual Burger Dan Bebola Serangga

Serangga telah lama dimakan di Afrika, Asia dan Amerika Latin. Labah-labah goreng adalah makanan istimewa di Kemboja, cacing goreng atau cacing panggang adalah makanan ringan di Thailand dan semut adalah serangga yang biasa dimakan di China, Brazil dan Mexico.

Menurut USA Today, dianggarkan 2 bilion orang di seluruh dunia memakan serangga kerana nilai pemakanannya. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu melaporkan bahawa “serangga yang boleh dimakan mengandungi protein yang berkualiti tinggi, vitamin dan asid amino untuk manusia.”

Tetapi Switzerland yang lebih dikenali oleh cokelat dan kejunya membuat kejutan apabila menjadi negara pertama di dunia yang menawarkan beberapa jenis makanan berasaskan serangga.

Rangkaian pasar raya kedua terbesar di Switzerland, Coop mengumumkan bahawa pihaknya akan mula menjual daging burger dan bebola berasaskan serangga jenis ulat mealworm yang dikatakan kaya dengan protein mulai minggu hadapan. Nasi, lobak merah dan pelbagai rempah ditambah untuk perisa.

Menurut undang-undang Switzerland, serangga ini telah lama digunakan dalam makanan haiwan dan mesti dibiakkan di bawah pengawasan yang ketat selama empat generasi sebelum dianggap sesuai untuk penggunaan manusia. Ini bermakna pengeluaran tempatan akan mengambil masa beberapa bulan untuk bermula.

“Switzerland merupakan negara Eropah pertama dibenarkan menjual makanan berasaskan serangga bagi tujuan kegunaan orang ramai,” kata jurucakap badan keselamatan makanan negara.

Undang-undang keselamatan makanan Switzerland telah diubah pada Mei lalu apabila membenarkan makanan yang mengandungi tiga jenis serangga seperti belalang, mealworm dan cengkerik.

Produk yang dikeluarkan oleh sebuah syarikat Essento itu boleh didapati di rankaian Coop termasuk di Geneva, Bern dan Zurich pada 21 Ogos ini, menurut satu kenyataan.

Satu pek yang mengandungi dua burger dan 10 bebola akan dikenakan caj kira-kira $ 10 (RM43).

Show More

Related Articles

Back to top button
Close