AntarabangsaIsu Semasa

Sekutu IS Potong Pokok, Takut Ia ‘Disembah’

Sekutu kumpulan militan IS yang beroperasi di barat daya Syria telah memotong sebatang pokok kerana ‘bimbang’ penduduk tempatan akan ‘menyembahnya’ selain tuhan.

Pokok tersebut dipotong oleh kumpulan militan yang telah bersumpah taat setia dengan IS, bergelar ‘Tentera Khalid ibn al Walid”, dan mereka melakukan sedemikian kerana menganggap ia sebagai “politeisme”.

Politeisme merupakan kepercayaan yang mengakui terdapat lebih daripada satu tuhan atau pemujaan banyak tuhan seperti dewa dan dewi.

Laporan Independent UK menyatakan bahawa gambar dan video pemotongan pokok itu telah disebarkan secara meluas di saluran media sosial milik militan.

Dalam gambar yang tersebar, dua orang lelaki dilihat memanjat dahan yang tertinggi dan kemudian memotongnya menggunakan gergaji kecil.

Walau bagaimanapun, ini bukan pertama kali puak pelampau IS melepaskan ‘geram’ mereka terhadap pokok.

Sebelum ini, sebatang pokok Oak di utara Syria, Atma, yang berusia 150 tahun telah dipotong pada tahun 2013 selepas IS menuduh penduduk tempatan menyembahnya selain daripada tuhan.

Selepas dipotong, tempat asal pokok itu diganti dengan bendera hitam milik kumpulan itu.

Tentera Khalid ibn al-Walid dikatakan mempunyai kira-kira 1,000 hingga 1,500 anggota yang mengawal jalur kecil di wilayah berhampiran Dataran Tinggi Golan.

Kumpulan itu ditubuhkan pada tahun lepas dengan gabungan tiga kumpulan kecil yang telah bersumpah taat setia dengan IS.

Militan tersebut mengawal populasi penduduk dengan ‘undang-undang’ yang kejam, termasuk memenggal kepala sesiapa sahaja yang melanggar peraturan yang mereka tetapkan, walaupun ia hanya kesalahan kecil.

Menurut seorang lelaki yang berjaya melarikan diri dari kawasan itu, para perokok dikunci dalam sangkar dan individu yang disyaki mencuri pula akan dipotong tangan mereka.

Ini secara jelas menunjukkan bahawa kumpulan ini mengamalkan ideologi songsang yang amat bertentangan dengan ajaran agama Islam yang sebenar.

Selain itu, sesiapa sahaja yang didapati menyembah dewa lain akan berhadapan hukuman mati.

 

 

 

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close