AntarabangsaIsu SemasaPolitik

Parti Baru Ditubuhkan Untuk Menentang Brexit?

Sementara rundingan penceraian Britain daripada Kesatuan Eropah (EU) sedang dilaksanakan, bekas penasihat Brexit, James Chapman mengumumkan penubuhan parti pembangkang pro-EU yang baru untuk menentang Brexit.

Diberi nama ‘The Democrats‘, parti ini merupakan sebuah parti berhaluan sederhana yang anti-Brexit, dan logo mereka didedahkan di laman Twitter pada hari Isnin.

Mereka juga membuat penjualan barang-barang berjenama untuk meraih dana dan sokongan untuk sebuah acara yang akan berlangsung di London pada 9 September bulan depan.

Memetik laporan CNBC, Chapman sebelum ini berkhidmat sebagai ketua kakitangan Setiausaha Brexit dalam Jabatan Kerajaan untuk Keluar daripada Kesatuan Eropah.

Sejak berhenti berkhidmat, Chapman serta bekas editor politik di Daily Mail, amat lantang bersuara dalam menolak keputusan United Kingdom untuk bercerai dengan EU.

James Chapman – Sumber: www.theguardian.com

Mereka turut mendapat sokongan daripada ahli-ahli parlimen lain, termasuk ahli parlimen kerajaan pemerintah Konservatif sendiri.

Walau bagaimanapun, prospek pembentukan parti masih belum jelas setakat ini, dan Chapman menyatakan bahawa maklumat lanjut akan dimaklumkan pada bulan depan.

Tetapi, beliau ada mendedahkan matlamat untuk memberi fokus terhadap peningkatan pinjaman untuk pelaburan dalam infrastruktur, penjagaan kesihatan dan pembaharuan pencen dalam beberapa siri Tweet-nya.

Chapman juga menyeru pemimpin-pemimpin lain, termasuk ahli parti Demokrat Amerika Syarikat (AS) Hillary Clinton dan ketua parti Liberal Democrats pro-EU sedia ada, Vince Cable untuk memberikan sokongan mereka.

T-Shirt dengan slogan seperti ‘Exit from Brexit’ dan ‘Darling they lied…’ kini boleh dibeli di laman web gabungan Demokrat bernama ‘demarcationdesign’ dengan harga £18.00 (RM 99), manakala cawan pula dijual dengan harga AS$12 (RM 51).

“Bekerja dengan James Chapman, kami mereka logo dan pelbagai baju (t-shirt) bagi meraikan pelancaran sebuah parti baru yang bertujuan untuk menghentikan Brexit dan menuntut semula asas politik Britain,” tulis laman web itu.

£1 (RM 5.50) daripada setiap jualan akan disalurkan kepada Fight Brexit War Chest, sebuah laman pembiayaan orang ramai yang menyediakan dana untuk menganjurkan perhimpunan dan persidangan.

Dengan sasaran mengumpul £60,000 (RM 331,000), laman itu dilaporkan telah meraih kira-kira £35,000 (RM 192,000) setakat ini.

Kini, rakyat Britain bebas untuk menubuhkan dan mendaftar parti politik mereka sendiri. Terdapat kira-kira 500 parti politik di UK, namun tidak banyak yang mendapat sokongan yang mencukupi.

Anthony Wells, pengarah pendapat awam dalam politik dan social dan penyelidik pasaran dalam syarikat YouGov berkata, kejayaan parti baru tersebut akan bergantung pada sokongan yang Chapman boleh peroleh daripada ahli-ahli politik terkemuka.

 

 

Show More

Related Articles

Back to top button