AntarabangsaIsu Semasa

Gajah Selamatkan Mangsa Bencana Alam

Gajah-gajah di Nepal telah dikumpulkan untuk menyelamatkan ratusan pelancong luar yang terperangkap dalam sebuah taman safari bernama Chitwan National Park.

Menurut pegawai kerajaan Nepal, jumlah kematian akibat bencana banjir kilat dan tanah runtuh telah meningkat kepada 70 orang susulan hujan lebat yang berterusan selama 4 hari.

Hujan lebat tersebut menyebabkan Sungai Rapti di Sauhara melimpah sehingga membanjiri beberapa buah hotel dan restoran yang mempunyai kira-kira 600 orang pelancong.

Memetik laporan The Star, Sauhara yang berada di pinggir Chitwan National Park, merupakan rumah kepada 605 ekor badak sumbu bertanduk tunggal, atau badak sumbu India.

Tempat itu juga amat popular di kalangan pelancong Cina dan India yang gemar melihat haiwan itu dan juga menunggang gajah.

Gajah membantu mangsa banjir – Sumber: www.thehimalayantimes.com

Suman Ghimire, ketua kumpulan pemilik hotel Sauraha pada hari Selasa berkata, kira-kira 300 orang tetamu telah diselamatkan dengan menunggang belakang gajah dan menaiki traktor ke Bharatpur pada hari Isnin, dan selebihnya dibawa ke tempat selamat pada hari tersebut.

Menurut Pengarah Program Lapangan WWF Nepal, Shiva Raj Bhatta, seekor badak sumbu telah maut terkorban dalam banjir itu.

Sukarelawan yang terlibat dalam misi menyelamat itu menyatakan bahawa 26 daripada 75 daerah di Nepal sama ada tenggelam (akibat banjir) atau dilanda tanah runtuh selepas hujan lebat membanjiri negara itu.

Pada hari Ahad, angka kematian mencatatkan 49 orang, namun ia dijangka akan meningkat dengan tambahan 50 orang yang dilaporkan hilang dalam banjir dan tanah runtuh itu, kata Menteri Maklumat dan Komunikasi, Mohan Bahadur Basnet.

Basnet berkata, lebih daripada 60,000 rumah telah ditenggelami air, terutamanya di dataran selatan yang bersempadan dengan negara India.

Insiden ini menyaksikan bencana banjir yang terburuk sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dan anggaran kerugian masih tidak diketahui.

“Keadaan amat membimbangkan kerana puluhan ribu orang telah terkesan (dengan bencana ini),” ujarnya.

Kawasan pertanian di dataran darat turut terkesan dengan bencana ini, di mana negara itu mungkin akan mengalami kekurangan makanan akibat kehilangan hasil tanaman.

“Hujan lebat melanda pada salah satu waktu yang paling buruk, tidak lama selepas petani menanam padi mereka di kawasan pertanian terpenting dalam negara,” kata Summina Shrestha, jurucakap Heifer International, sebuah pertubuhan bukan untung.

 

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker