Sukan

Apa Itu Sukan Chinlone?

Dua bulan lalu Bernama melaporkan pengurus skuad Chinlone, Wan Mohd Husni Abdullah berkata berdasarkan prestasi semasa dan latihan intensif ketika berguru di Myanmar, acara chinlone kategori ‘linking event’ menjadi sandaran skuad negara untuk memburu emas pertama dan ianya menjadi sebuah realisasi apabila pasukan Chinlone Malaysia telah menggapai emas pertama negara semalam dengan kutipan mata sebanyak 391  mengalahkan pasukan Filipina yang mendapat 271 mata.

Walau bagaimanapun, ramai masih tidak tahu kewujudan sukan ini dan baru sahaja mendengar tentangnya apabila Malaysia berjaya meraih pingat emas semalam.

Sukan ini adalah sukan tradisi yang berasal dari Myanmar. Ia merupakan sebuah sukan berpasukan yang mempunyai kombinasi antara sukan dan tarian yang lebih menerapkan nilai kreativiti daripada unsur persaingan.

Chinlone dalam bahasa Burma bermaksud bakul bulat dan seperti bola sepak takraw, bola dalam Chinlone diperbuat daripada rotan.

Permainan ini dimainkan oleh dua pasukan dengan enam pemain di mana setiap pemain perlu menimbang bola tersebut menggunakan kepala, lutut dan kaki manakala terdapat seorang pemain di tengah bulatan tersebut yang akan melakukan persembahan solo.

Kepelbagaian dalam pergerakan yang mencampurkan tarian oleh persembahan solo di tengah-tengah bulatan itu akan disokong oleh pemain lain yang berada dalam bulatan tersebut.

Permainan akan tamat sebaik sahaja bola tersebut terkena tanah dan permainan kedua bermula semula.

Pasukan Malaysia diwakili oleh Muhd Faiz Roslan, Mohd Kamal Aizat Azmi, Putera Aidil Israfi, Muhd Asyraaf Hadi, Izuan Afendi, Mohd Nasuha Nadzli, Iskandar Zulkarnain Salim dan Abdul Muhaimi Bongsu.

Para pemain ini perlu menggunakan enam cara untuk menimbang bola tersebut iaitu dihujung jari kaki, di telapak kaki, bahadian dalam dan luar tapak kaki, tumit serta lutut.

Pemenang pertandingan dengan markah tertinggi akan diputuskan setelah 20 minit dengan 10 minit untuk satu set.

Terdapat empat kategori dalam Chinlone:

  1. Non-repetition event (primary)
  2. Same stroke event
  3. Linking event
  4. Non-repetition event (secondary)

Acara ini pertama kali diperkenalkan pada Sukan SEA 2013 di Myanmar dan Sukan SEA kali ini membenarkan tuan rumah Malaysia untuk mengambil bahagian dalam kesemua empat kategori chinlone manakala negara lain hanya dibenarkan menyertai dua kategori sahaja.

Kuasa utama chinlone, Myanmar hanya menyertai kategori ‘same stroke event’ dan ‘non-repetition event (secondary level)’.

Semalam Malaysia turut mendapat pingat gangsa untuk acara chinlone stroke.

Pada Sukan SEA kali ini, Malaysia mensasarkan 111 pingat emas dan semoga sasaran tersebut menjadi realiti.

#BangkitBersama

 

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close