AntarabangsaIsu Semasa

YouTube Buang Bukti Jenayah Perang Di Syria

Laman YouTube menerima kritikan hebat kerana membuang bukti video yang mendokumentasikan jenayah peperangan di Syria.

Operasi pembuangan video tersebut merupakan sebahagian daripada usaha mereka untuk membuang kandungan dan propaganda pengganas di platform itu.

Video dibuang oleh YouTube – Sumber: www.infowars.com

Menurut Elliot Higgins, pengasas rangkaian penyiasatan bernama Bellingcat, beribu-ribu video yang menunjukkan keadaan sebenar yang berlaku di Syria telah dimuat naik di Youtube sejak tahun 2011, tahun yang sama peperangan mula tercetus di negara itu.

Walau bagaimanapun, kebanyakan video tersebut telah dibuang daripada laman itu.

Elliot Higgins, pengasas Bellingcat – Sumber: 112.ua

Sejak 6 tahun lalu, Higgins telah menggunakan video-video yang telah dimuat naik di Youtube untuk membuktikan bahawa bom berangkai (cluster bomb), bom pembakar, dan bom tong telah digunakan dan hospital serta bangunan-bangunan awam lain turut menjadi sasaran dalam konflik itu.

Higgins memaklumkan kepada agensi berita Sky News, bahawa kebanyakan video yang mendokumentasikan konflik di Syria dimuat naik semula selepas beliau membuat rayuan, tetapi senarai main (playlist) video-video tersebut telah hilang.

“Senarai main tersebut telah digunakan dalam pelbagai laporan oleh organisasi berbeza, dan ia juga digunakan untuk berkongsi maklumat mengenai jenayah peperangan bersama organisasi-organisasi keadilan dan akauntabiliti. Pembuangannya (video) memberi impak yang serius terhadap keadilan dan akauntabiliti,” kata Higgins, yang juga merupakan seorang wartawan.

Tambah beliau, pihaknya telah bekerjasama dengan Syrian Archive untuk menjaga sebanyak video yang mungkin, tetapi ia hanya sebahagian kecil daripada video-video konflik itu.

Sementara itu, seorang jurucakap YouTube menyatakan bahawa platform tersebut sedang memperbaiki peralatan yang digunakan oleh pengulas mereka untuk membuang video.

Pengeboman di Syria – Sumber: www.middleeastobserver.org

“Dengan jumlah video yang terlalu besar di laman kami, kadang kala kami membuat keputusan yang salah,” katanya.

Ujar jurucakap itu lagi, mereka akan bertindak dengan pantas untuk mengembalikan semula video-video yang telah dibuang secara salah.

“Apabila kami menyedari kami tersilap membuang sesebuah video atau saluran, kami bertindak pantas untuk mengembalikannya (memuat naiknya semula),” tambah beliau.

Difahamkan, Youtube kini sedang berusaha mengembalikan semula senarai mainan video Higgins.

“Terdapat pelbagai saluran yang telah memuat naik ratusan, jika tidak ribuan video sejak 6 tahun lalu, dan jika hanya segelintir sahaja yang melanggar peraturan baru YouTube maka saluran itu akan digantung,” kata Higgins.

Walau bagaimanapun, jelas beliau, segelintir individu yang mengendalikan saluran-saluran tersebut telah dibunuh atau dipindahkan supaya mereka tidak boleh mendapat akses kepada saluran mereka untuk mencabar penggantungan/pembuangan video yang dimuat naik sebelum ini.

“Jadi, semua video tersebut hilang,” tambah Higgins.

 

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker