Tempatan

Pelajar Bangladesh Ditipu, Dijadikan Buruh Murah di Malaysia

Kenali Samin, Farid dan Biplop. Ketiga-tiga mereka ini adalah antara 40,000 pelajar Bangladesh yang datang ke Malaysia sejak 3 tahun yang lalu untuk menerima pendidikan tinggi.

Tetapi sampai sahaja di Malaysia, impian mereka untuk melanjutkan pelajaran musnah apabila mereka menyedari mereka adalah sebahagian daripada sindiket penyeludupan manusia yang meluas.

Tempat kediaman Samin sekarang adalah pondok papan yang bersebelahan dengan bangunan pangsapuri yang sedang dalam pembinaan. Untuk mandi, dia menggunakan tempat mandi terbuka yang berada di luar.

Bagi Farid pula, dia bekerja dalam sebuah gudang di Johor Bahru. Kerjanya adalah untuk memeriksa stok yang masuk dan keluar dari gudang tersebut.

Apabila ditanya di mana tempat tidurnya, Farid berkata dia akan membentang satu tilam sebelah mejanya. Tempat masaknya pula berada di sudut bilik stor kecil.

Biplop bekerja di sebuah pusat membeli belah di Sepang. Dia menceritakan dia pernah bersembunyi di dalam tong sampah untuk mengelak tangkapan polis.

Perjalanan

Untuk mengetahui dengan lebih mendalam penderitaan yang mereka alami, The Star R.AGE mengikuti jejak langkah pertama dalam skim penyeludupan pelajar Bangladesh.

Langkah 1

Seorang ejen pendidikan akan memperdaya bakal pelajar tentang kehidupan yang mengagumkan di Malaysia iaitu sebuah negara moden, selesa dan mesra untuk yang beragama Islam.

Walaupun perkara ini benar, tetapi mereka juga memancing warga Bangladesh ini dengan memberitahu di Malaysia nanti mereka akan dibenarkan bekerja dan terdapat banyak peluang pekerjaan serta mudah untuk mengumpulkan kekayaan walhal hakikat sebenarnya undang-undang Malaysia tidak membenarkan pelajar antarabangsa untuk bekerja.

“Belia di Bangladesh terdesak untuk belajar,” kata Ashik Rahman, aktivis hak asasi warga Bangladesh yang berpangkalan di Malaysia dan juga pengasas Migrant88.

“Mereka melihatnya sebagai cara untuk keluar dari kemiskinan dan pengangguran generasi sebelumnya. Mereka juga lebih suka untuk belajar di luar negara kerana ia akan meningkat status sosial mereka.”

Langkah 2

Dengan menggunakan pelajar yang terdesak, ejen ini akan menaikkan lagi harga untuk visa dan pembiayaan kolej. Mereka akan mengenakan caj sehingga RM21,000 iaitu persamaan dengan tiga tahun gaji di Bangladesh.

Mereka yang terpedaya dengan janji palsu akan mengeluarkan semua simpanan keluarga, jual tanah keluarga ataupun mengambil pinjaman daripada bank atau daripada peminjam wang haram (ah long).

Samin dan Farid masing-masing membayar RM13,800 dan Biplop pula membayar RM16,000.

Biasanya kolej dan ejen akan membahagi rata wang RM13,000 yang dibayar oleh setiap pelajar sesama meraka.

Terdapat 40,000 pelajar Bangladesh yang datang ke Malaysia sejak tiga tahun lalu, bayangkan berapa banyak untung yang telah mereka peroleh.

Langkah 3

Di lapangan terbang Malaysia, pegawai imigresen telah diarahkan untuk menahan pelajar Bangladesh sehingga wakil daripada kolej mengambil mereka.

Pada tahap ini, ejen di Malaysia pula akan mengambil alih dan akan memeras wang daripada pelajar.

Farid berkata dia berada dalam tahanan selama dua hari kerana enggan membayar RM200 yang telah diminta oleh ejennya. Akhirnya dia mengalah kerana tiada makanan ataupun minuman yang disediakan.

Semua pelajar antarabangsa yang telah menerima tawaran daripada kolej Malaysia datang menggunakan visa jangka pendek. Kemudian pelajar perlu menyerahkan pasport, rekod akademik, dan rekod kesihatan kepada kolej mereka.

Tetapi ejen Farid enggan memulangkan pasportnya jika dia tidak membayar RM650.

Kenali penyeludup pelajar

Seorang ejen dengan bangganya menyebut 8,000 pelajar yang dia telah bawa masuk sejak 2013. Dia mendakwa yang dia mewakili satu kolej terkenal yang beroperasi dalam sebuah pusat membeli-belah di Kuala Lumpur.

Dia juga mengatakan 98% daripada pelajar datang ke sini untuk menjadi buruh murah dan kehadiran kelas boleh ditipu jika pelajar membayar “beberapa ratus ringgit “untuk mengelakkan masalah dengan Jabatan Imigresen.

“Setiap institusi yang mendapat lesen Kementerian Dalam Negeri (untuk mendaftarkan pelajar asing), mencari wang,” katanya. “Satu-satunya cara untuk mendapatkan wang adalah melalui pelajar Bangladesh – bawa 200, 300 pelajar, agihkan mereka, duit datang kembali. Inilah cara (kolej) melakukannya.”

Sesetengah ejen mengatakan jika kolej mereka ditutup oleh Kementerian Pengajian Tinggi (MOHE), masih ada institusi gabungan yang boleh mengagihkan semula pelajar kerana ia beroperasi di bawah pemilik yang sama.

 Illusi

Hampir 30 kolej menunjukkan penglibatan dalam penyeludupan pelajar dan semuanya beroperasi di depan mata. Sesetengah kolej ini mendedahkan bilik kelas kosong dan pejabat yang lengang.

Farid berkata dia telah melawat keseluruhan kolejnya dan tiada satu kelas pun yang sedang berlangsung. Kesemua bilik kelas adalah kosong.

“Saya datang hanya untuk belajar,” kata Farid. “Tetapi apabila saya datang sini, saya kecewa.”

“Impian saya sudah berkecai.”

Farid tiada pilihan lain selain bekerja untuk mendapatkan balik duit keluarganya. Lebih-lebih lagi ibunya telah jatuh sakit dan bil perubatan memburukkan lagi masalah kewangan keluarganya.

Terpaksa bekerja secara haram

Pelajar asing di Malaysia tidak dibenarkan bekerja, kecuali pada cuti panjang dan mendapat kebenaran daripada kolej dan Jabatan Imigresen.  Jika didapati bersalah, mereka akan dikenakan penjara 5 tahun atau denda RM10,000 dan mungkin juga sebatan.

Lebih teruk lagi, mereka akan dihantar pulang dan pasport mereka akan di senarai hitam. Ini akan menyusahkan lagi peluang untuk mendapat pendidikan di negara lain.

Menderita dalam diam

MOHE mempunyai sistem aduan, tetapi kebanyakan pelajar tidak mengetahui tentangnya. Hanya 20 aduan yang ada dalam rekod sejak tahun 2013.

Pelajar juga takut hukuman yang dikenakan jika kolej mereka mendapati mereka telah membuat aduan. Kolej boleh membuat tindakan disiplin dan mengusir mereka pulang.

Peluang kedua

9 kolej telah dikenakan tindakan pada tahun 2016 dan 2017. Hanya 1,100 visa pelajar telah dikeluarkan pada tahun 2017 berbanding 16,000 tahun 2016 dan 23,000 tahun sebelumnya.

MOHE akan mengetatkan kawalan terhadap penyeludupan pelajar kolej dan ejen, dan akan memaksa mereka untuk membayar pendidikan mangsa di kolej lain.

Mangsa ataupun sesiapa yang mengetahui tentang kolej atau ejen yang terlibat boleh membuat aduan di rage.com.my/trafficked.

Pegawai MOHE akan membuat siasatan dan jika kolej tersebut didapati bersalah, mereka harus membiayai yuran pendidikan mangsa di kolej lain. Kesemua kes akan di kemukakan kepada NGO Tenaganita dan Migrant 88. Mereka akan menyediakan sokongan dan nasihat kepada mangsa.

 

Show More

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button