#toodiadotmy :: Semua tentang belia ada di sini! Kami bukan sensasi tapi berinformasi.


Main Gitar, Nenek Rock Tepis Stereotaip


 

Seorang nenek warga Singapura berumur 81 tahun telah meruntuhkan stereotaip dalam mengejar minat mendalamnya terhadap muzik rock dengan menjadi pemain gitar sekaligus menjadikannya bintang internet terkini.

Karier Mary Ho yang baru berkembang telah mencapai kemuncaknya apabila dia melakukan persembahan di depan orang ramai dalam Perarakan Hari Kebangsaan Singapura yang ke-52 baru-baru ini.

Ho yang merupakan nenek kepada tujuh orang cucu hanya mula bermain gitar pada usia 60 tahun untuk memenuhi impian seumur hidupnya untuk belajar instrumen itu, lapor TheStar.

Pada mulanya Ho hanya belajar menggunakan sebuah buku panduan dengan gitar akustik sambil menyanyi. Tetapi apabila seorang rakan memperdengarkan lagu klasik, Samba Pa Ti, nyanyian bintang rock Carlos Santana kira-kira satu dekad yang lalu, dia memutuskan untuk mencari tutor profesional untukĀ  belajar bermain gitar secara serius.

“Ia terlalu sukar untuk belajar sendiri, jadi saya nekad untuk mencari seorang guru. Tetapi guru itu memandang saya dan berkata, ‘Saya tidak pernah mengajar sesiapa yang berumur seperti kamu sebelum ini’.”

Walaupun tidak mengetahui cara membaca muzik, Ho bertekad untuk belajar lagu kegemarannya dan berlatih sehingga tiga jam sehari. Sejak itu, dia telah mengumpulkan koleksi lebih dari 20 gitar, merakam album muzik Latin sendiri dan sering menerima jemputan untuk persembahan amal.

Sebuah video Ho bermain muzik rock klasik, Need Your Love So Bad ditonton lebih daripada 1.1 juta kali di YouTube.

Ho adalah contoh terbaik bagaimana warga emas harus terus aktif dan dia juga telah menyertai beberapa kempen untuk menggalakkan warga emas untuk terus bergiat.

Kali pertama membuat persembahan besar di hadapan 27,000 orang pada Hari Perarakan, Ho akui dia agak gugup.

Demi minat dan kecintaan terhadap muzik rock, Ho meyakinkan bahawa dia tidak pernah menganggap bahawa umurnya menjadi penghalang untuknya mengejar impian.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial

Kongsikan ToodiaDotMy. Semua tentang belia ada di sini!Kami bukan sensasi tapi berinformasi.