#toodiadotmy :: Semua tentang belia ada di sini! Kami bukan sensasi tapi berinformasi.


Usia Bukan Penghalang Untuk Pembangun Aplikasi Hinadan


 

Pada umur 82 tahun, mungkin ramai yang selesa dengan kehidupan persaraan, tetapi seorang warga Jepun, Masako Wakamiya masih giat bekerja sebagai pembangun aplikasi iPhone, membuatkannya antara pembangun aplikasi yang tertua di dunia.

Kerana kecewa dengan industri teknologi yang jarang melibatkan warga emas dalam pembangunan teknologi, Wakamiya berhasrat untuk belajar membuat aplikasi dengan sendirinya.

Wakamiya berkata mereka yang berusia lebih daripada 60 tahun harus meneroka kemahiran baru untuk mengasah minda.

“Apabila kita semakin berusia, kita akan kehilangan banyak benda: suami kita, pekerjaan kita, rambut kita, penglihatan kita. Tetapi apabila kita belajar benda baru, tak kira piano atau pengaturcaraan (programming) kita mempunyai kelebihan,” kata Wakamiya.

Dia mula berminat dengan komputer pada tahun 90-an semasa dia bersara dari kerjanya sebagai kerani bank. Dia mengambil masa selama beberapa bulan untuk menyediakan sistem komputer pertamanya. Bermula dengan BBS messaging, sebelum membina kemahirannya mengunakan Microsoft PC, dan kemudian Mac dan iPhone.

Menurut AFP, Wakamiya meminta pembangun perisian untuk menyediakan lebih banyak kemudahan bagi warga emas tetapi respons yang kurang mendorongnya untuk mengambil tindakan sendiri.

Hinadan, nama aplikasi yang dibina olehnya adalah khusus untuk mereka yang berusia lebih daripada 60 tahun. Wakamiya kini sering jadi permintaan ramai dan telah dijemput untuk mengambil bahagian dalam Worldwide Developers Conference yang berprestij, di mana dia adalah pembangun aplikasi tertua di situ.

Aplikasinya yang mengambil inspirasi daripada pesta Hina Matsuri yang diadakan setiap tahun pada bulan Mac di mana anak patung yang melambangkan maharaja Jepun diaturkan  mengikut susunan tertentu.

Hinadan yang bermaksud ‘tangga anak patung’ memerlukan pengguna untuk menyusun anak patung kepada tempat yang betul. Permainan itu lebih susah daripada apa yang digambarkan kerana ia memerlukan penghafalan susunan yang kompleks.

42,000 kali aplikasinya dimuat turun  dan dihujani pelbagai komen yang positif daripada pengguna. Walaupun kecil angkanya jika dibandingkan dengan aplikasi Jepun yang terkenal, Hinadan membuktikan popularitinya sehinggakan Bahasa Inggeris, Cina dan Perancis telah dirancang untuk dikeluarkan.

Inspirasi

Ketua eksekutif Apple, Tim Cook, memuji dan menganggap Wakamiya sebagai sumber inspirasi.

Di Silicon Valley, pekerja yang berusia lebih dari 40 tahun sudah dianggap tua bagi sesetengah firma dan mengikut laporan dari Payscale, umur median pekerja di Facebook adalah 29 tahun dan di Apple adalah 31 tahun.

Wakamiya mengimbas kembali semasa membangunkan aplikasi tersebut dia mementingkan warga emas yang kehilangan pendengaran dan kebolehan menggunakan jari jemari.

Dia juga mengakui menulis kod adalah sangat susah tetapi ia hanya mendorongnya lagi untuk belajar.

“Kebanyakan orang tua telah mengabaikan pembelajaran, tetapi bagi mereka yang mula belajar kembali, bukan sahaja ia bagus untuk diri sendiri tetapi juga ekonomi,” kata Wakamiya.

“Saya sangat sibuk sehingga tiada masa untuk dapatkan penyakit,” tambahnya.

 

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial

Kongsikan ToodiaDotMy. Semua tentang belia ada di sini!Kami bukan sensasi tapi berinformasi.