#toodiadotmy :: Semua tentang belia ada di sini! Kami bukan sensasi tapi berinformasi.


Sekolah Pelarian Beri Peluang Masa Depan


 

Untuk masa depan yang cerah kita memerlukan pendidikan dan bimbingan yang sewajarnya. Di Malaysia pendidikan percuma yang diterima menyebabkan kebanyakan masyarakat Malaysia memandang enteng hal pendidikan. Tetapi bagi mereka yang datang ke Malaysia sebagai pelarian, pendidikan adalah satu yang sukar dicapai.

Bagi menampung pembiayaan sekolah pelarian Top Achievers Academy ia memerlukan hanya RM3,000 sebulan.

Pengasasnya Jeanette Chan dan Francis Tay menempuh pelbagai dugaan apabila hendak meraih dana bagi membiayai sewa dan prasarana.

Chan, seorang bekas ejen insurans nyawa mengatakan, “Sebagai pelarian, ibu bapa kanak-kanak tidak dibenarkan bekerja mengikut undang-undang, ini bermaksud sumber mereka adalah terhad.”

Chan juga menegaskan bahawa jika kanak-kanak tidak diberi pendidikan, mereka akan ketinggalan dalam kehidupan, dari segi sosial dan juga ekonomi. Ini akan membuatkan mereka lebih cenderung kepada aktiviti jenayah dan dikhawatirkan timbul pelbagai perkara yang tidak diingini yang bakal menjejaskan keharmonian masyarakat.

Sekolah yang ditubuhkan sejak tiga tahun lalu beroperasi di Dewan Komuniti Ampang Baru dan mempunyai 34 pelajar yang terdiri daripada pelajar sekolah rendah hingga sekolah menengah.

Dahulunya sekolah itu dikenali sebagai Pandawas Akedemi dan terdiri daripada 100 pelajar. Mata pelajaran yang ditawarkan adalah Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Biologi, Kimia dan Fizik. Ia juga menjalankan aktiviti ko-kurikulum seperti badminton, bola keranjang, ping pong, skuasy, seni, tarian dan muzik.

Namun disebabkan kekurangan dana, sekolah itu terpaksa mengurangkan sesi pembelajaran. Pelajar di sekolah itu hanya belajar tiga jam sehari berbanding enam jam yang biasanya dijalankan.

Chan dan Tay telah mengenal pasti lima pelajar yang bersedia untuk mengambil International General Certificate of Secondary Education (Sijil Umum Sekolah Menengah Antarabangsa) tetapi memerlukan duit  untuk membiayai yuran peperiksaan.

Bulan Jun yang lalu, Top Achievers Academy terpaksa melepaskan tiga guru kerana tidak mampu menampung pembiayaan gaji mereka. Kali terakhir Chan dan Tay mengeluarkan gaji untuk diri mereka sendiri adalah 4 bulan yang lalu.

Jika dilihat dari sudut ganjaran, Tay mengatakan kecemerlangan pelajar adalah ganjaran yang mencukupi.

“Salah satu bekas pelajar yang hanya 12 tahun ditempatkan semula di Amerika tetapi diletakkan dalam grade 8 (tingkatan dua). Untuk matematik sahaja, dia mengambil kelas dengan pelajar grade 9 (tingkatan tiga).”

Jika sekolah itu terpaksa ditutup, harapan pelajar-pelajar ini untuk memperbaiki masa depan mereka akan tertutup.

Seperti yang dilaporkan di The Star, salah satu cara yang dicadangkan untuk menolong sekolah itu adalah dengan menjemput sukarelawan untuk mengajar.

“Kami memerlukan sukarelawan yang berdedikasi. Jika mereka boleh datang, kami boleh menambah lagi banyak subjek seperti kajian sosial,” kata Chan.

 

Post Tags
Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial

Kongsikan ToodiaDotMy. Semua tentang belia ada di sini!Kami bukan sensasi tapi berinformasi.