AntarabangsaIsu SemasaPolitik

Pengundi Brexit Kurang Berpendidikan

Sekumpulan penyelidik Britain menyatakan bahawa rakyat negara itu akan memilih Britain untuk terus kekal dalam Kesatuan Eropah (EU) dalam referendum Brexit bulan Jun tahun lepas, jika mereka lebih berpendidikan.

Berdasarkan sebuah kajian baru yang diterbitkan oleh ahli akademik di University of Leicester, Britain akan kekal dalam EU jika 3% lagi pengundi referendum itu melanjutkan pelajaran sehingga peringkat universiti.

Memetik laporan RT, kajian tersebut menilai punca mengapa sesetengah rakyat Britain pilih untuk keluar dari blok EU, dan hasil menunjukkan tahap pendidikan merupakan faktor utama yang mempengaruhi keputusan seseorang itu untuk mengundi keluar.

Faktor-faktor lain seperti umur, jantina dan jumlah pendapatan seseorang turut diambil kira dalam kajian tersebut, namun tahap pendidikan masih memainkan peranan terbesar dalam menentukan keputusan pengundi dalam referendum itu.

“Referendum EU mencetuskan perdebatan dan spekulasi penting mengenai niat pengundi dan motivasi mereka dalam mengundi,” kata Dr Aihua Zhang, seorang ahli akademik dari Jabatan Matematik, University of Leicester.

Beliau berkata, kebanyakan maklumat dalam perdebatan ini diperoleh daripada analisis data mudah yang diasingkan dengan mengkaji faktor individu menggunakan data tinjauan pendapat.

“Pada 23 Jun 2016, pilihan Britain untuk meninggalkan EU merupakan satu kejutan kepada kebanyakan pemerhati, dengan jumlah pengundi yang lebih besar,” ujarnya.

Tambah Zhang, jumlah rakyat yang keluar mengundi pada hari tersebut adalah 72.2%, iaitu angka yang lebih besar daripada mana-mana pilihan raya umum United Kingdom (UK) sejak satu dekad lalu.

Dalam pada itu, kajian tersebut turut mendapati bahawa sekiranya jumlah pengundi kurang 7% pada waktu itu, UK akan terus kekal dalam EU.

 

Tags
Show More

Related Articles