#toodiadotmy :: Semua tentang belia ada di sini! Kami bukan sensasi tapi berinformasi.


Pejuang IS Tidak Faham Makna Sebenar Islam


 

Kebanyakan pemuda yang pergi ke Syria untuk berjuang di samping kumpulan pengganas IS mempunyai latar belakang yang bermasalah, kurang berpendidikan, dan tidak mengetahui fahaman asas mengenai makna sebenar jihad mahupun Islam.

Berdasarkan laporan terbaru Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Counter Terrorism, ¬†walaupun golongan ini mendakwa mereka ‘melindungi orang Islam,’ majoriti pejuang masih ‘mentah’ dalam ilmu agama.

Malah, segelintir daripada mereka juga tidak tahu bagaimana untuk menunaikan solat dengan betul.

“Kebanyakan melihat agama mereka dari segi keadilan dan ketidakadilan berbanding aspek ketakwaan dan kerohanian,” kata pengarang-pengarang laporan itu, yang telah menemubual 43 pejuang dari 12 negara.

Laporan itu juga mendapati bahawa pada kebiasaannya, pejuang militan adalah lelaki muda yang ‘kurang bernasib baik’ dan kekurangan dari segi ekonomi, pendidikan, dan juga aspek pasaran buruh.

“Kebanyakannya menganggur, atau kekurangan kerja, dan/atau berkata bahawa hidup mereka tidak bermakna,” ujar laporan itu.

Majoriti pejuang yang cuba menyertai kumpulan pengganas termasuk IS, sekutu al-Qaeda (Jabhat al-Nusra dan jihadi Ahrar al-Sham), datang daripada keluarga besar yang bermasalah di bandar-bandar miskin.

Di sana, kehidupan mereka ibarat ‘katak di bawah tempurung’, kerana tidak terdedah aktiviti sosial, ekonomi, dan politik.

Oleh itu, faktor ekonomi merupakan punca utama yang mendorong mereka untuk menyertai pengganas, kerana kumpulan itu menjanjikan gaji, tempat kediaman, dan juga pasangan hidup untuk mereka.

Tambah laporan itu, kepercayaan agama pula hanya memainkan peranan kecil dalam memberi ‘motivasi’ kepada mereka untuk menjadi pejuang.

Memetik berita Independent UK, tiga suku atau 75% daripada pejuang yang ditemubual telah pergi ke Syria, namun kemudian memutuskan untuk pulang semula ke negara mereka.

Jumlah selebihnya pula telah dipintas oleh pihak berkuasa di negara mereka dan ada juga yang berhenti setengah jalan.

Selain itu, kumpulan pengganas juga dikatakan telah mengambil kesempatan terhadap niat pemuda-pemuda ini untuk melindungi orang Islam yang teraniaya oleh kerajaan Bashar al-Assad di Syria.

“Responden (pejuang) dalam kajian ini menyatakan bahawa mereka tidak pergi ke Syria dengan niat untuk menjadi pengganas,” ujar laporan itu sambil menambah bahawa mereka tetap tidak berniat sedemikian setelah pulang semula ke negara masing-masing.

Sejak pengisytiharan IS pada tahun 2014, kumpulan itu menghasilkan pelbagai propaganda untuk memperdaya orang Islam sertai mereka dengan menjanjikan kehidupan yang aman, selesa dan bebas daripada cengkaman dan penindasan kuasa Barat.

 

 

 

 

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial

Kongsikan ToodiaDotMy. Semua tentang belia ada di sini!Kami bukan sensasi tapi berinformasi.