Isu SemasaTempatan

Kurang Keyakinan Diri Mendorong Belia Sertai Kumpulan Gengster

Golongan belia mudah terpengaruh untuk menyertai kumpulan gengster kerana menganggap ia boleh meningkatkan rasa hormat orang lain terhadap mereka selain daripada sumber pendapatan yang bagus.

Menurut mantan timbalan komisioner polis, Datuk A. Paramasivam, mereka juga mempercayai bahawa jenayah adalah haluan pilihan mereka dalam kehidupan disebabkan beberapa faktor, termasuk didikan ibu bapa yang kurang baik, pengaruh rakan sebaya, kemiskinan dan juga kurang keyakinan diri.

“Apabila kanak-kanak ini mula bersekolah, segelintir daripada mereka mungkin berada di belakang dari segi akademik (pelajaran),” kata Paramasivam.

Disebabkan ini, pelajar sekolah yang ‘ketinggalan’ akan rasa dirinya amat rendah.

Memburukkan lagi keadaan, guru-guru secara umum lebih menyukai pelajar yang cemerlang dalam pelajaran mereka, dan ini secara tidak langsung membuatkan pelajar yang lemah rasa lebih terasing.

“Mereka kurang keyakinan dan penghormatan diri, dan mereka juga rasa dimangsai,” ujar beliau.

Ini adalah waktu kritikal di mana mereka akan lebih mudah terpengaruh oleh rakan-rakan sebaya yang telah menjadi anggota gengster, untuk menyertai kumpulan itu.

“Samseng-samseng muda ini selalunya akan mengikut seorang ketua, di luar sekolah, yang mudah dikenal pasti dengan cincin emas yang dia pakai di semua jarinya, rantai emas, anting-anting, gaya rambut ganjilnya, dan kolar baju yang dinaikkan,” ujar Paramasivam.

Tambahnya lagi, pemuda-pemuda ini menganggap ketua mereka sebagai idola.

Dalam pada itu, pengarah organisasi latihan kemahiran bernama MySkills Foundation, S. Pasupathi menyatakan bahawa kanak-kanak ini juga berminat untuk menjadi anggota gengster kerana rasa ‘sense of belonging’ yang mereka terima, memetik laporan The Star.

Pasupathi berkata, kebanyakan pelajar tersebut datang daripada keluarga susah dan mempunyai keyakinan diri yang sangat rendah.

“Dalam segelintir kes, mereka mempunyai rakan atau saudara-mara yang telah menjadi anggota geng dan mereka rasa ia tidak menjadi masalah jika mereka lakukan perkara sama,” katanya.

Menurut Pasupathi, lebih daripada setengah jumlah individu yang menyertai MySkills telah terlibat dalam kumpulan gengster.

“Sewaktu di sekolah menengah, pelajar-pelajar senior akan beritahu mereka bahawa mereka perlukan perlindungan daripada geng, kalau tidak mereka akan dibuli,” ujar beliau.

 

Tags
Show More

Related Articles