Gaya HidupKesihatan

‘Cacing Ajaib’ Dalam Perubatan

Selama berabad-abad, manusia hanya menggunakan lugworm – cacing berwarna merah jambu gelap, berlendir dan tidak boleh dimakan – sebagai umpan untuk aktiviti memancing.

Namun status invertebrata yang kurang dihargai ini bakal berubah.

Menurut kajian penyelidik Perancis, darah lugworm mempunyai keupayaan yang luar biasa untuk menyimpan oksigen.

Perkara ini boleh memanfaatkan manusia dan mengubah sektor perubatan yang sedia ada dengan menyediakan pengganti darah yang boleh menyelamatkan nyawa, mencepatkan kadar pemulihan selepas pembedahan dan membantu pesakit penerima organ.

Hemoglobin Lugworm yang hebat

Fungsi hemoglobin adalah untuk mengangkut oksigen dalam sel darah merah dan menurut Gregory Raymond, seorang ahli biologi di Aquastream, hemoglobin lugworm boleh mengangkut 40 kali lebih banyak oksigen dari paru-paru ke tisu berbanding manusia.

“Ia juga mempunyai satu kelebihan iaitu ia padan dengan semua jenis darah.”

Raymond dan pasukannya merupakan ahli pakar pengeluaran telur ikan. Mereka telah bergabung dengan firma bioteknologi Hemarina pada tahun 2015 dengan harapan dapat memperoleh cara pengeluaran lugworm yang stabil.

Kemudahan itu kini menghasilkan lebih daripada 1.3 juta cacing tersebut setiap tahun, masing-masing mempunyai hemoglobin yang berharga.

“Kami pada mulanya bermula dari sifar. Oleh sebab cacing itu tidak pernah dikaji, kami perlu mengkaji kepentingan perubatan dalam lugworm atau nama saintifiknya Arenicola marina – bermula pada tahun 2003.

Masalahnya, hemoglobin haiwan yang digunakan untuk mengganti hemoglabin manusia boleh menyebabkan seseorang alahan dan keadaan ini mungkin boleh merosakkan buah pinggang.

Menurut laporan AFP, ketika menggunakan lugworm, hemoglobin larut dalam darah dan tidak terkandung dalam sel darah merah seperti manusia – dengan kata lain ia padan dengan semua jenis darah – dan strukturnya hampir sama dengan hemoglobin manusia.

Pada tahun 2006, potensi cacing itu telah disahkan dalam sebuah kajian yang besar. Para saintis di Roscoff telah mengekstrak dan menyucikan hemoglobin dari lugworm yang telah ditangkap dan mengujinya pada tikus makmal. Tikus-tikus itu berada dalam keadaan baik dan tidak menunjukkan tanda-tanda tindak balas imun seperti yang ditunjukkan haiwan lain.

Sekiranya terbukti selamat untuk kegunaan manusia, darah cacing yang kaya dengan oksigen dapat mengatasi kejutan septik – iaitu kejatuhan dalam tekanan darah yang boleh menyebabkan kegagalan pelbagai organ untuk berfungsi serta membantu memulihkan organ-organ semasa proses pemindahan organ.

Ujian klinikal produk darah ini telah bermula pada tahun 2015. Hemoglobin Lugworm telah digunakan tahun lalu dalam 10 pemindahan buah pinggang manusia di sebuah hospital di bandar Brest, barat Perancis. Kini di seluruh Perancis, terdapat 60 orang pesakit mendaftar dalam ujian produk darah ini.

Rahsia kelebihan hemoglobin lugworm terletak pada keupayaannya untuk bertahan dalam keadaan yang genting, iaitu menanamkan dirinya ke dalam pasir di tepi air pasang.

Cacing itu mendewasa sehingga kira-kira 25 sentimeter (10 inci) panjang dan mempunyai beberapa insang lebat di luar tubuhnya.

Apabila ia tenggelam dalam air ketika air pasang, cacing tersebut membina stok oksigen yang membolehkan ia bertahan lebih daripada lapan jam ketika air sedang surut.

Sesiapa yang pernah berjalan di sepanjang pantai berpasir pada air surut akan dapat melihat bukti kewujudan lugworm, iaitu kumpulan pasir berputar yang ditolak keluar dari lubang mereka, 10 centimeter di bawah permukaan.

Namun begitu, selain pemancing selalu menggalinya untuk dijadikan umpan, ia juga jarang kelihatan – dan pembiakannya adalah suatu cabaran baru. Antara kesukaran yang dihadapi adalah bekerja dengan haiwan kecil yang tersembunyi,” jelas Raymond

Pada mulanya, Aquastream berhadapan dengan dengan masalah pembiakan asas – termasuk cara membezakan antara lugworm jantan dengan yang betina. Selepas sembilan bulan ujian dijalankan didapati bahawa, “terdapat 50 peratus cacing dewasa yang hidup dan kebanyakannya menghasilkan telur,” kata Herault. Larva pada mulanya sekitar 1 mm panjang, setelah menjadi cacing ia berukuran 5 mm panjang, pada ketika ini ia akan diangkut ke tapak ujian Hemarina.

Pekerja Aquastream melihat ke dalam basin tempat lugworm dibela di  Ploemeur yang terletak di barat Perancis.

Pengarah Aquastream, Nathalie Le Rouilly mengatakan bahawa kerjasama firma milik beliau dengan Hemarina akan dapat membekalkan dunia sains perubatan dengan bekalan cacing yang mampan.

“Tidak ada tempat lain di Perancis atau di dunia yang mempunyai keupayaan untuk menghasilkan lugworm dalam persekitaran terkawal untuk memastikan bekalan hemoglobin yang berterusan.,” katanya.

Para saintis teruja dengan potensi yang ada pada hemoglobin lugworm – namun begitu mereka juga memberi perhatian dan tekanan yang terperinci terhadap prosedur ujian sebelum molekulnya dapat disahkan selamat dan berkesan untuk manusia.

” Ciri-ciri hemoglobin yang diekstrak daripada lugworm boleh membantu dalam prosedur penerimaan kulit. menggalakkan pertumbuhan semula tulang dan menghasilkan darah sejagat,” kata Raymond.

Sekiranya perkara ini menjadi kenyataan, darah lugworm juga membolehkan organ yang telah diderma disimpan di luar tubuh badan untuk tempoh masa yang lebih lama. Hal ini mempunyai potensi untuk membantu beribu-ribu penerima setiap tahun.

Pada satu hari, darah yang telah dibeku kering boleh menjadi pengganti untuk bekalan darah standard – hal ini boleh jadi suatu kelebihan ketika berada di zon pertempuran atau bencana.

Tags
Show More

Related Articles

Check Also

Close