AntarabangsaIsu Semasa

Gadis Palestin Dan Israel Yahudi Cari Persamaan

“Saya teringat balik… ambulans dan cara mereka membawa dia turun dari bangunan itu,” kata Liza Masri. Dia mengimbas kembali ketika dia melihat jiran sebelah rumahnya ditembak mati oleh tentera Israel ketika sedang menghisap rokok di balkoni.

Sejak muda lagi dia ketahui untuk berwaspada terhadap tentera yang meronda kawasan perumahannya di West Bank bandar Nablus.

“Kami tidak dibenarkan keluar ke jalanan. Kami takut mereka akan membunuh kami. Itu saya akan ingat selamanya – ia sangat menyakitkan,” katanya.

Beberapa tahun kemudian, anak jirannya memperkenalkan Masri kepada “Creativity for Peace,” satu organisasi di Santa Fe, New Mexico, yang membawa perempuan remaja Palestin dan Israel bersama dalam satu rancangan untuk mengeratkan hubungan emosi yang timbul akibat 70 tahun konflik.

Mereka berkumpul bersama di sebuah ladang di kaki bukit di selatan Rocky Mountains untuk mendengar buat pertama kalinya cerita-cerita musuh mereka yang mereka telah belajar untuk membenci sejak kecil lagi.

Sejak 2003 lebih daripada 200 gadis yang berumur 15 hingga 17 tahun telah mengambil bahagian dalam kem Creativity for Peace, di mana Masri datang kembali sebagai “pemimpin muda” selepas mengambil bahagian pada tahun 2013.

Di kem itu dia mula berkawan dengan Naama Shlomy, seorang Yahudi Israel yang tinggal kira-kira 100 kilometer selatan Nablus, bersempadan dengan Gaza.

Shlomy berusia tiga tahun ketika kawasan rumahnya di Sderot di serang oleh artileri roket Qassam dari Hamas. Antara roket yang pertama dari anggaran 8,000-10,000 dihujani oleh Gaza sejak 2002.

Tidak lebih daripada 30 warga Israel  telah terbunuh tetapi trauma psikologi lebih mendalam.

Hampir setengah dari pelajar-pelajar sekolah di Sderot menunjukkan tanda-tanda gangguan kesan trauma. Manakala kemurungan dan keguguran adalah fakta kehidupan seharian.

“Ia sangat teruk, saya tidak dapat menerangkannya. Ini trauma yang ada dalam diri saya. Saya perlu hidup dengan kesannya sepanjang hayat saya,” kata Shlomy yang berusia 19 tahun.

Setiap tahun 20 gadis – separuh Yahudi Israel dan separuh lagi Palestin dari Israel, Tebing Barat dan Gaza – dijemput ke New Mexico oleh Creativity for Peace.

Persamaan

Seperti yang dilaporkan oleh AFP, gadis-gadis ini akan berkongsi pengalaman mereka dalam konflik Arab-Israel dalam sebahagian daripada dialog 40 jam yang berasaskan kepada tanggapan bahawa “seorang musuh adalah seorang yang ceritanya anda belum dengar.”

Menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa umum mereka, mereka pergi membeli-belah, menonton filem, membuat kerja-kerja rumah, berkongsi bilik tidur dan menghadiri kelas terapi seni bersama-sama.

“Kami mengajar gadis-gadis ini bahawa kedua belah pihak adalah betul dan juga salah. Tugas mereka bukan untuk membahaskan politik atau sejarah, tetapi lebih untuk memahami satu sama lain dan mencari persamaan,” kata Dottie Indyke, pengarah eksekutif Creative for Peace.

“Saya faham apa yang kami berdua alami tetapi ia tidak mengubah fikiran saya. Saya memhami mereka, cerita mereka, tetapi itu tidak bermakna saya harus mengubah perspektif saya, bahawa mereka tidak melakukan sesuatu yang salah kepada negara saya,” kata Masri.

Tetapi dia teruskan kem itu kerana dia percaya pada nilai dialog intrinsik sebagai langkah perubahan.

“Mungkin kita tidak dapat menyelesaikan konflik tetapi prosesnya panjang, ia tentang kepercayaan,” katanya. “Selagi kita mempercayai pihak sebelah sana banyak perkara akan berubah.”

Mungkin bahagian yang paling sukar selepas kem itu, apabila gadis-gadis ini diminta untuk kembali ke komuniti asal mereka sebagai pendamai atau “peacemaker” yang boleh menjadi contoh belas kasihan, persahabatan, dan keberanian.

“Setiap gadis boleh pergi ke keluarganya dan mengubah cara mereka melihat sesuatu, maka mereka boleh mengubah komuniti mereka,” kata Sana Zahalka, 17, seorang lagi pemimpin muda yang pertama kali datang ke kem pada tahun 2015.

Tindak Balas

Walaupun niat kem ini adalah untuk membincang dan memahami satu sama lain menerusi dialog. Mereka menerima kecaman dari media sosial yang mengutuk gadis-gadis Palestin yang menghadiri kem ini kerana “menormalisasikan” hubungan dengan Israel. Menurut Gatestone Institut, gadis yang menghadiri kem itu dituduh, antara lain, mencederakan perasaan orang mereka dengan “mempromosikan normalisasi” dengan “musuh” Israel.

Kenyataan Mu’ath Al-Hims di Facebook, mengkritik ibu bapa perempuan Palestin yang membenarkan anak perempuan mereka bersosial dengan perempuan Israel.

Dalam media sosial pula, mereka  dan keluarga mereka dikecam sebagai “pengkhianat” dan “pelacur.” Itu hanya beberapa penghinaan yang dilemparkan terhadap mereka, terutama pada akaun Facebook.

Di samping menyerang mereka, banyak orang Palestin juga mengarahkan kemarahan terhadap ibu bapa mereka kerana membolehkan anak perempuan mereka bersosial dengan gadis Israel. “Malangnya, ketiadaan kesedaran kebudayaan dan kepunyaan kebangsaan di kalangan ibu bapa adalah sebab utama (pertemuan itu),” kata Mu’ath Al-Hims di Facebook.

Imad Chiri, pengguna Facebook yang lain, mengulas: “Ini adalah pengkhianatan yang jelas dan normalisasi yang memalukan.”

 

 

 

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker