AntarabangsaIsu Semasa

Kekejaman Terhadap Gajah Dalam Industri Pelancongan

Gajah merupakan haiwan yang amat popular bagi pelancong-pelancong yang datang melawat Thailand.

Berdasarkan laporan baru yang didedahkan pada bulan lepas, jumlah gajah yang ‘bekerja’ dalam industri pelancongan Thailand adalah dua kali ganda lebih banyak daripada jumlah haiwan itu di seluruh Asia.

Walau bagaimanapun, gajah-gajah di negara itu dikatakan berada dalam keadaan yang ‘kurang bernasib baik’.

Sejak beberapa dekad lalu, industri tersebut telah berkembang dengan pesat kerana menyediakan perkhidmatan menarik kepada pelancong seperti menunggang gajah atau menonton persembahan mereka dalam sarkas.

Memetik laporan The Star, pasukan penyelidik dari World Animal Protection (WAP) mengambil masa dua tahun untuk melawat 220 tempat yang menggunakan gajah di seluruh Asia.

Walaupun industri-industri ini membangun dengan pesat, gajah-gajah yang mereka miliki tidak dijaga dengan cara yang baik.

Daripada 2,923 ekor gajah yang bekerja dalam industri pelancongan Asia, 2,198 sahaja berada di Thailand.

Industri kedua terbesar adalah India, yang mempunyai kira-kira 617 gajah, di ikuti Sri Lanka (166), Nepal (147), Laos (59) dan Kemboja pada tangga yang terendah (36).

Daripada skala 1-10, kebanyakan lokasi hanya menerima mata diantara 1-5 oleh penyelidik, iaitu tahap yang “mengecewakan atau tidak boleh diterima.”

“Ketika ia (gajah) tidak memberi tunggangan atau melakukan persembahan, ia selalunya akan diikat dari pagi hingga malam,” kata penyelidik.

Tambah mereka lagi, haiwan mamalia itu juga diberi makanan atau diet yang tidak sihat, diberi penjagaan veterinar yang terhad dan sering disimpan di lokasi-lokasi yang disifatkan sebagai ‘tertekan’.

India menerima rating yang terburuk dari aspek keadaan kehidupan haiwan itu, dengan mata purata 4.4, di ikuti Thailand (4.6), Nepal (4.8), Sri Lanka (4.9) dan Laos (5.0).

Tempat yang menerima rating tertinggi jarang sekali atau tidak pernah mengikat gajah-gajah mereka, mengehadkan atau melarang interaksi bersama pelancong dan membenarkan haiwan tersebut untuk ‘bersosial’ dalam kalangan mereka.

Di Thailand, hanya lapan kawasan sahaja yang diberi rating ‘bagus’, namun 114 lagi berada pada tahap yang teruk.

Menurut Jad Schmidt-Burbach, seorang pakar WAP yang berpangkalan di Thailand, pelancong mempunyai kuasa untuk memperbaiki kehidupan gajah-gajah tersebut dengan memilih lokasi yang menggalakkan mereka memerhati haiwan tersebut berbanding berinteraksi dengannya.

“Sebagai peraturan umum, jika anda boleh menunggang, memeluk atau mengambil ‘selfie’ bersama haiwan liar, ia adalah kejam dan anda tidak patut melakukannya,” katanya.

Penyelidik WAP berkata, latihan yang diberi kepada gajah-gajah tersebut supaya mereka boleh mahir melakukan pelbagai aksi dilaksanakan dengan cara yang kejam dan penuh dengan tekanan.

 

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close