AntarabangsaIsu Semasa

282 ‘Hot Spot’ Dikesan Di Indonesia

Pada hari Ahad (6 Ogos), satelit Indonesia berjaya mengenal pasti 282 ‘hot spot’ (titik panas) di seluruh negara itu.

Berdasarkan laporan Straits Times, jumlah titik panas pada tahun ini mencatatkan angka yang tertinggi susulan musim kering yang berterusan.

Menurut Dr Sutopo Purwo Nugroho, jurucakap Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia (BNPB), lebih setengah daripada angka tersebut adalah di Barat Kalimantan.

Lima daerah di wilayah tersebut – Kubu Raya, Ketapang, Sekadau, Melawi dan Bengkayang – telah diisytihar sebagai kawasan darurat untuk membolehkan pihak berkuasa tempatan mendapatkan bantuan daripada kerajaan pusat.

Bantuan ini termasuk bantuan ketenteraan dalam usaha memadam kebakaran besar di kawasan-kawasan yang terjejas.

Pengeboman air menggunakan helikopter: – Sumber: america.aljazeera.com

Dr Sutopo turut meluahkan kebimbangannya kerana jumlah kebakaran mungkin lebih tinggi di 150 kawasan panas di Barat Kalimantan.

Beliau berkata, kebakaran hutan di wilayah tersebut masih berterusan walaupun pelbagai usaha telah dilakukan untuk memadamnya.

Dalam pada itu, jumlah titik panas mungkin lebih tinggi daripada angka yang berjaya dikesan kerana satelit mungkin tidak melepasi semua kawasan hutan yang mengalami kebakaran.

Selain Barat Kalimantan, wilayah-wilayah lain yang terjejas adalah Sumatera Selatan, (23 kawasan panas), Sulawesi Selatan (18), Riau (16) dan Nusa Timur Tenggara (12).

Kebanyakan kawasan panas yang dikesan adalah di tanah perladangan persendirian, tanah milik masyarakat, taman negara dan kawasan-kawasan yang sukar untuk diakses.

“Kawasan-kawasan yang terbakar adalah kawasan yang sukar untuk diakses dan jauh dari penempatan, sebab itu (api) sukar untuk dipadam,” ujar beliau.

Sehingga Sabtu lepas, 18 buah helikopter telah dihantar untuk melaksanakan operasi memadam api di Riau, Jambi, Selatan Sumatera, Barat Kalimantan dan Selatan Kalimantan.

Menurut Menteri Alam Sekitar dan Perhutanan Indonesia, Siti Nurbaya Bakar, helikopter dihantar ke kawasan-kawasan yang mempunyai akses jalan yang terhad.

“Jika laluan darat sukar untuk diakses atau telah lama ditutup, kami akan menggunakan bom air,” katanya.

Musim kering di Indonesia diramalkan akan berakhir paling awal pada bulan September ini.

 

Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker