AntarabangsaIsu SemasaPolitik

Politik Singapura Hanya Untuk Rakyat Singapura

Politik di Singapura hanya untuk rakyat Singapura. Perkara itu ditegaskan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Singapura, Chan Chun Sing di Parlimen pada hari Selasa (1 Ogos 2017) apabila ditanya mengenai pelan kerajaan untuk melindungi negara itu daripada campur tangan asing dalam pilihan raya.

Chan berkata, rakyat Singapura perlu sedar bahawa kempen-kempen yang dianjurkan oleh pihak asing datang dalam pelbagai bentuk, di mana ia bertujuan untuk mempengaruhi politik dan proses pilihan raya tempatan.

PENDERMA ASING 

Gambar sekadar hiasan – Sumber: www.ecuavisa.com

Pihak asing yang memberi sumbangan atau derma kepada mana-mana organisasi di Singapura juga cenderung untuk mengawal arena poltik di Singapura.

Walaupun kelihatan seperti perkara biasa dan tidak merbahaya, ‘penderma’ yang mempunyai niat kurang baik mungkin akan campur tangan dalam politik tempatan di kemudian hari dengan mempengaruhi dan memberi tekanan kepada pihak yang telah menerima sumbangan daripada mereka.

Ini secara tidak langsung boleh meletakkan penerima sumbangan dalam keadaan serba salah dan terpaksa mematuhi tekanan dan arahan penderma.

PERKEMBANGAN TEKNOLOGI

Gambar sekadar hiasan – Sumber: www.whoisdeclanryan.com

Menurut Chan, campur tangan asing dalam politik juga boleh berlaku di media sosial, seperti berita palsu.

Beliau menggariskan 3 langkah utama yang diambil oleh kerajaan Singapura dalam melindungi politik tempatan daripada gangguan pihak luar.

Tambahnya lagi, langkah tersebut perlu berubah selaras dengan perkembangan teknologi, platform media dan saluran komunikasi.

“Kedudukan kami sentiasa konsisten bahawa politik di Singapura hanya untuk rakyat Singapura. Kami menentukan haluan sendiri dan aakan bertanggungjawab atas pilihan kami,” katanya.

MENANGANI CAMPUR TANGAN ASING DALAM POLITIK

Parlimen Singapura – Sumber: www.theonlinecitizen.com

Memetik laporan Straits Times, undang-undang pilihan raya Singapura secara jelas melarang warga asing daripada mengambil bahagian dalam aktiviti pilihan raya.

Pertama, Akta Derma Politik melarang calon-calon pilihan raya dan parti politik untuk menerima sebarang bentuk dana daripada pihak asing.

Dalam pada itu, Akta Ketenteraman Awam telah dipinda pada tahun ini, di mana polis kini diberi kuasa untuk tidak memberi permit kepada warga asing atau entiti asing yang mempunyai matlamat politik, untuk menganjurkan perhimpunan atau perarakan awam.

Kedua, Singapura juga mempunyai langkah untuk melindungi rangkaian serta sistem IT kerajaan supaya ia tidak digunakan oleh pihak asing untuk mempengaruhi proses pilihan raya.

Ketiga, untuk menghalang pihak asing daripada memanipulasi platform media, kerajaan negara itu melarang dan mengawal pemilikan syarikat surat khabar dan media siaran, seperti yang tertakluk di bawah Akta Akhbar dan Percetakan serta Akta Penyiaran.

Kerajaan juga akan memperkenalkan satu undang-undang khas untuk memerangi berita palsu, dan melaksanakan kempen untuk membantu rakyat menjadi lebih bijak dalam apa yang mereka baca.

PERANAN RAKYAT 

Rakyat Singapura – Sumber: www.theindependent.s

Walau bagaimanapun, Chan menegaskan bahawa kerajaan tidak boleh bertindak berseorangan, dan rakyat tempatan juga perlu memainkan peranan masing-masing.

“Setiap seorang daripada kita perlu memainkan peranan dengan menjadi lebih berwaspada dan bijak mengenai apa yang kita baca atau dengar,” katanya.

Ujar beliau, peranan rakyat penting untuk menghalang pihak luar daripada menjejaskan proses demokrasi negara.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button