AntarabangsaIsu Semasa

Perogol Tidak Akan Terlepas Kali Ini

Pada hari Selasa, Ahli-ahli Parlimen (MP) di Jordan telah sebulat suara mengundi untuk memansuhkan undang-undang yang ‘melepaskan’ perogol sekiranya mereka berkahwin dengan mangsa mereka.

Menurut aktivis hak asasi manusia, undang-undang yang wujud di beberapa negara Timur Tengah itu ibarat ‘menghukum’ golongan wanita, di mana mereka akan melalui keganasan seksual dan penderaan domestik seumur hidup di tangan individu yang merogol mereka.

“Ia adalah satu pencapaian bersejarah di Jordan hari ini,” kata Suad Abu-Dayyeh, seorang konsultan di Equality Now, sebuah organisasi undang-undang global.

Menurut organisasi tersebut, negara-negara yang mempunyai undang-undang serupa termasuk Lebanon, Bahrain, Iraq, Kuwait, Syria dan Wilayah Palestin.

Parlimen Jordan – Sumber: www.jordantimes.com

Equality Now berkata, undang-undang ini juga diamalkan di beberapa negara di luar Timur Tengah seperti Filipina dan Tajikistan.

Selain itu, Adam Coogle, penyelidik Human Rights Watch di Timur Tengah, menyatakan bahawa pemansuhan undang-undang ini adalah satu langkah positif untuk menamatkan ‘kebebasan tanpa hukuman’ bagi perogol.

Coogle berkata, ia juga menamatkan keganasan terhadap wanita serta meningkatkan kedaulatan undang-undang.

Minggu lepas, ahli parlimen Jordan, Wafa Bani Mustafa yang telah lama berkempen untuk memansuhkan undang-undang itu berkata, ibu bapa sering bersetuju untuk mengahwinkan anak perempuan mereka dengan lelaki yang telah merogol mereka semata-mata untuk mengurangkan “malu keluarga”.

Tegas Wafa, tiada seorang gadis pun yang patut ‘diberi sebagai hadiah’ kepada perogolnya.

Kumpulan-kumpulan hak asasi manusia turut berharap supaya Lebanon mengikuti jejak langkah Jordan dalam memansuhkan undang-undang tersebut.

Memetik laporan Reuters, negara itu berada dalam fasa perbincangan sama ada untuk meminda atau memansuhkan terus perundangan yang serupa.

“Harap-harap ini akan menggalakkan ahli parlimen di Lebanon untuk memansuhkannya tanpa sebarang pengecualian,” kata Abu-Dayyeh.

Selain itu, terdapat juga negara yang sebelum ini mengamalkan undang-undang berkenaan, memutuskan untuk memansuhkannya.

Mesir memansuhkannya pada tahun 1999, manakala Maghribi pula melakukannya pada tahun 2014 susulan kes bunuh diri gadis berusia 16 tahun dan cubaan bunuh diri gadis 15 tahun yang dipaksa untuk mengahwini perogol mereka.

 

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button