Sukan

Pecutan Kilat Terakhir Usain Bolt Yang Bakal Kita Saksikan

Usain Bolt – nama yang tidak asing lagi di arena sukan. Seperti namanya ‘Bolt’ yang bermaksud kilat yang menyambar, kecepatan larian beliau sememangnya laju bak kilat yang menyambar.

Dikenali sebagai raja pecut dunia, pada tahun ini beliau dikatakan bakal angkat kaki dari arena pecut pada usia 31 tahun.

Beliau bercadang untuk merangkal dua emas terakhir pada kejohanan dunia yang bakal berlangsung di London tahun ini dalam acara 100m dan 4x100m setelah menjuarai 13 kejohanan dunia dan lapan pingat emas Olimpik sepanjang kerjayanya sebagai atlet lari pecut.

Bolt memulakan kerjayanya sebagai jaguh pecut secara tidak sengaja apabila jurulatih kriketnya telah mencadangkan agar beliau cuba untuk memasuki pasukan trek sekolah.

Cadangan jurulatihnya itu telah membuahkan hasil apabila Bolt memenangi pertandingan juara dunia junior pertamanya pada usia 15 tahun dan mengekalkan kejuaraan tersebut selama empat tahun dari tahun 2002 sehingga 2005.

Kejayaan yang paling membanggakan ialah apabila beliau memenangi tiga pingat emas pada tahun 2008 dalam tiga acara iaitu larian 100m, 200m dan lari berganti-ganti 4x100m.

Inspirasi Kejayaan Usain Bolt

Usain Bolt pernah datang ke Malaysia pada awal bulan April sebagai salah satu panel dalam sesi Global Transformation Forum. Dalam sesi soal jawab di hadapan 3000 orang, beliau telah mengagumkan ramai dan menyuntik inspirasi kepada semua yang berada di dalam auditorium yang mendengarkan kisahnya.

Menurutnya ramai orang tidak melihat kesusahan dan kerja kerasnya untuk mencapai kejayaan yang berjaya dirangkul beliau. Ramai yang rasa dan fikir mereka boleh mencapai kejayaan sepertinya tetapi menurutnya, jika anda tidak berusaha keras, ia bukan mudah untuk berada di tangga teratas.

Tiga perkara yang menjadi asasnya ialah kerja keras, berdedikasi dan banyak pengorbanan perlu dilakukan.

Apabila ditanyakan soal pengorbanan yang beliau terpaksa lakukan, beliau menjawab,”Semuanya.. Untuk saya masa. Saya tiada masa untuk diri sendiri.”

Namun tidak menafikan bahawa cara beliau mengurangkan tekanan adalah dengan pergi berhibur.

Seperti manusia biasa, Usain Bolt mengakui pernah mengalami tekanan yang teruk semasa di sekolah menengah apabila beliau terlalu yakin bahawa dengan menjadi seorang pelari pecut, ia bakal membawanya mencapai kejayaan sebaik sahaja melangkah masuk ke peringkat profesional. Namun, realitinya ia tidak semudah yang disangkakan.

Beliau dikritik teruk dan ia merupakan perkara paling teruk sepanjang hidupnya. Kejatuhan ini mengambil masa empat tahun untuk beliau bangkit semula dan sedar bahawa beliau perlu berusaha lebih gigih, berlatih lebih kuat dan menjadi seorang yang berdisiplin kerana ramai yang telah melangkah lebih jauh daripadanya.

Ia merupakan pengajaran yang membinanya untuk mencapai cita-cita peribadinya iaitu untuk membelikan ibunya sebuah mesin basuh dan sebuah kereta untuk ayah.

Bantuan Kerajaan Dalam Arena Sukan

Semasa di Malaysia, beliau juga tidak terlepas dari ditanya tentang bantuan kerajaan untuk menyokong kerjaya dan kejayaannya. Beliau mengakui di Jamaica tidak banyak bantuan kewangan yang mereka terima tetapi mereka telah menghasilkan ramai atlet. Namun apabila sampai satu peringkat, sudah tentu para atlet ini perlu bantuan daripada kerajaan tetapi ia tidak bermaksud bergantung sepenuhnya kepada kerajaan untuk berjaya.

Apa yang lebih penting ialah usaha atlet tersebut untuk mencapai kejayaan. Sikap atlet itu sendiri perlu berdisiplin untuk mencapai kejayaan bukan prasarana yang disediakan kerana terdapat ramai atlet yang tidak mempunyai kemudahan tetapi keinginan untuk berjaya mendapatkan pingat telah mengatasi segalanya sehingga mendorong kejayaan mereka.

Perpisahan Bolt Dan Sukan

Pada Selasa yang lepas, telah dianjurkan sebuah acara perpisahan dan penghargaan untuk Usain Bolt dengan ucapan daripada pelbagai orang ternama seperti Samuel L. Jackson, Idris Elba, Thierry Henry, Cara Delevingne, ketua pasukan Kriket India, Virat Kohli dan yang menghiburkan ialah ucapan daripada salah seorang jurukamera dari China.

Bolt sangat terharu dengan ucapan tersebut dan berkata “Ia merupakan sesuatu yang mengharukan apabila orang daripada pelbagai bidang lain menghormati apa yang kita telah lakukan kerana mereka faham kerja keras yang kita harus lakukan.”

Sebuah televisyen di Britain juga telah memberi penghormatan kepada beliau apabila mereka menyiarkan sebuah filem bertajuk “I am Bolt” yang memaparkan perjuangan yang perlu dihadapi Usain Bolt untuk mencapai kejayaan yang dirangkulnya.

Kerjaya Setelah Meninggalkan Trek

Usain Bolt bercadang untuk tidak lari jauh dari bidangnya dengan menjadi perwakilan yang bakal memberi inspirasi kepada belia lain untuk memasuki bidang sukan.

Selain itu menurut akhbar TheStar, beliau juga mahu memberi fokus terhadap kerja sukarelawan serta perniagaannya di Jamaica serta berfikir tentang bola sepak (dan berharap dapat bekerjasama dengan Manchester United)

Show More

Related Articles

Back to top button