AntarabangsaIsu SemasaPolitik

China Dilarang Ambil Buruh Binaan Tempatan

Walaupun China memberi Filipina pinjaman besar untuk pembangunan infrastruktur, undang-undang negara itu masih melarang pengambilan buruh binaan warga asing.

Ini bermakna bahawa China tidak boleh mengambil rakyatnya untuk bekerja sebagai buruh dalam projek-projek yang mereka biayai di Filipina.

Menurut Setiausaha Kewangan Filipina, Carlos G. Dominguez III, ia bukan dasar kerajaan untuk mengimport pekerja luar ke dalam negara.

Walau bagaimanapun, Dominguez menyatakan bahawa terdapat undang-undang yang membenarkan pekerja asing untuk bekerja di Filipina, tetapi hanya untuk pekerjaan berteknikal tinggi.

“Jika anda memerlukan kemahiran khas dan ia tidak terdapat di negara anda, baru anda bawa mereka masuk, di mana kita telah pun melakukannya.

“Terdapat undang-undang yang membenarkan pekerja asing untuk bekerja di negara kita bagi pekerjaan berteknikal tinggi,” kata beliau.

Memetik laporan The Star, Dominguez berkata demikian ketika memberi maklum balas terhadap laporan yang mendakwa kerajaan Filipina mungkin perlu mengambil buruh binaan warga asing untuk projek-projek infrastruktur yang dibiayai oleh China, terutamanya jika ia ditetapkan oleh kontrak bantuan pembangunan rasmi (ODA) daripada Beijing.

Setiausaha Perancangan Sosioekonomi Filipina, Ernesto M. Pernia menyatakan bahawa pihaknya akan lebih berhati-hati dalam urusan mereka dari segi pembiayaan projek daripada kerajaan China.

Oleh itu, Filipina tidak akan membenarkan kemasukan syarikat-syarikat China yang mempunyai rekod mencurigakan.

Menurut Pernia, kebimbangan terhadap sumber dana dari China yang mencurigakan boleh menjadi pramatang memandangkan Filipina masih belum menandatangani sebarang perjanjian pinjaman dengan negara tersebut, kecuali komitmen lisan dan beberapa memorandum persefahaman (MoU) yang bertulis.

Dalam pada itu, Dominguez menyatakan bahawa pada 6 bulan pertama pemerintahan Presiden Rodrigo Duterte, mereka telah memperolehi kira-kira 1 trilion peso (RM 85.6 bilion) dalam ODA dari China dan Jepun.

 

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button