Isu SemasaPolitikTempatan

Bila Parlimen Akan Dibubarkan?

Dalam sistem politik Malaysia, parlimen akan dibubarkan setiap 5 tahun sekali, selepas tamat penggal pentadbiran kerajaan yang memerintah, dan ia juga boleh dibubarkan lebih awal dari itu mengikut keadaan.

Kuasa pembubaran ini terletak di bawah budi bicara Yang di-Pertuan Agong, di mana baginda boleh membubarkan parlimen walaupun tempoh pemerintahan masih belum mencapai tempoh 5 tahun.

Selepas parlimen terbubar, maka akan berlangsung Pilihan Raya Umum (PRU) untuk pemilihan dan pembentukan kerajaan baru yang akan memerintah bagi penggal seterusnya.

SPEKULASI PRU-14 AKAN DIADAKAN AWAL

Sejak tahun lepas, spekulasi mengenai tarikh Pilihan Raya Umum ke-14  (PRU14) masih menjadi topik hangat dalam kalangan masyarakat sehingga hari ini.

Malah, ramai orang meramalkan bahawa PRU14 akan diadakan lebih awal, iaitu pada bulan September atau Oktober tahun ini walaupun penggal pemerintahan kerajaan selama 5 tahun sejak PRU13 yang lepas hanya akan berakhir pada bulan Ogos tahun depan.

Selain itu, terdapat juga ramalan yang menyatakan bahawa ia akan dilaksanakan pada bulan Februari depan selepas sambutan Tahun Baru Cina.

Namun, masih tiada pengumuman rasmi mengenai tarikh sebenar PRU 14 setakat ini.

VIDEO VIRAL SPR ‘UMUM TARIKH PILIHAN RAYA’ 

Baru-baru ini, terdapat sebuah video yang tular di media sosial, yang kononnya menunjukkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat pengumuman bahawa hari mengundi awal bagi PRU14 adalah pada 11 Oktober manakala hari mengundi pula pada 13 Oktober 2017.

Walau bagaimanapun, Pengerusi SPR, Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah, hari ini mengesahkan bahawa perkara itu tidak benar.

Menurut beliau, ‘sesi pengumuman tarikh’ tersebut sebenarnya adalah Program Taklimat kepada Pegawai-Pegawai Pengurus dan Penolong Pegawai Pengurus PRU14 Peringkat Negeri Kelantan di Kota Bharu pada 31 Julai lalu.

Tarikh itu hanya digunakan sebagai contoh bagi tujuan latihan dan simulasi kepada bakal petugas pilihan raya yang akan datang.

“SPR merasa kesal dengan tindakan individu yang tidak bertanggungjawab merakam dan dan menyebar video ini kepada umum sehingga menimbulkan kekeliruan di kalangan orang ramai mengenai tarikh PRU-14,” kata Mohd Hashim.

SISTEM PILIHAN RAYA

Malaysia menggunakan sistem “First-Past-The-Post” (FPTP) untuk membentuk kerajaan persekutuan atau kerajaan negeri.

Dalam sistem ini, calon-calon yang mendapat paling banyak undian (undi majoriti) akan diisytihar sebagai pemenang di kawasan yang mereka bertanding.

Jumlah kerusi di Parlimen adalah 222 dan parti perlu memenangi sekurang-kurangnya 112 kerusi untuk mendapat majoriti mudah (simple majority).

Selepas parlimen dibubarkan, SPR akan mengeluarkan Writ (surat kuasa) kepada Pegawai Pengurus untuk melaksanakan pilihan raya.

Satu notis yang menetapkan tarikh penamaan calon dan hari mengundi juga akan diwartakan di tempat-tempat yang mudah dirujuk oleh orang ramai.

Kemudian, Pegawai Pengurus akan menerima borang-borang penamaan dari calon, pencadang, penyokong atau kesemuanya sekali serta deposit pilihan raya dan Borang Akaun Berkanun.

Nama-nama calon yang layak untuk bertanding akan diisytiharkan, dan jika terdapat hanya seorang sahaja calon yang layak bagi sesuatu kawasan itu, Pegawai Pengurus akan mengumumkan beliau menang tanpa bertanding.

Untuk mengetahui selanjutnya mengenai proses ini, anda boleh klik di sini.

 

KESIMPULAN

Dalam era teknologi ini, hampir segala maklumat berada di hujung jari kita, dan ia boleh dicari dengan melayari internet.

Dengan kewujudan media sosial seperti Facebook, Twitter dan sebagainya, kita sering didedahkan dengan pelbagai berita yang datang daripada sumber-sumber yang belum pasti lagi kesahihannya.

Sesiapa sahaja yang mempunyai akaun Facebook mempunyai akses untuk berkongsi apa-apa sahaja yang mereka mahu; ini termasuklah cerita-cerita rekaan sendiri dengan niat untuk mengaibkan sesetengah pihak dan juga mencetuskan kekecohan dan kekeliruan pada masyarakat.

Oleh itu, jangan mudah percaya dengan apa yang diterbitkan di laman sosial, dan lakukan siasatan terlebih dahulu sebelum berkongsi atau menyebarkannya, terutamanya jika ia melibatkan isu-isu penting seperti pilihan raya.

Tarikh pilihan raya tidak akan diketahui selagi tiada sebarang pengumuman rasmi yang dibuat oleh pihak kerajaan atau SPR.

 

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button