Isu SemasaTempatan

Denda Minimum Menganiayai Haiwan Kini RM20,000

Malaysia telah mencapai kejayaan baru dalam melindungi hak-hak haiwan dengan Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang mula berkuat kuasa pada awal Julai lalu.

Akta yang bertujuan untuk mempromosikan pemilikan haiwan secara sah dan menghalang kekejaman haiwan, telah diluluskan di Parlimen dua tahun yang lalu dan dikuatkuasakan pada 1 Julai.

Di bawah undang-undang ini, pemilik perlu memastikan haiwan di bawah jagaannya diberikan persekitaran dan diet yang betul, dibenarkan untuk menunjukkan tingkah laku normal, ditempatkan mengikut keperluan dan dilindungi dari sebarang penderaan.

Akta Haiwan 1953 yang lama hanya menghukum kekejaman terhadap haiwan manakala  Akta Kebajikan Haiwan 2015 memperkenalkan pelbagai kesalahan baru yang akan turut didenda.

Akta baru ini bukan sahaja meliputi kekejaman haiwan, tetapi menjadikannya wajib untuk mendapatkan lesen bagi kegiatan berkaitan haiwan. Sebagai contoh, pusat kuda perlu dilesenkan dan perlu memenuhi keperluan asas kuda di bawah penjagaan mereka.

Operator perlu memenuhi piawaian tertentu sebelum diberi lesen untuk membuka pusat untuk haiwan. Proses itu sekaligus akan membolehkan jabatan veterinar memantau pusat tersebut.

Bagaimana pun, haiwan liar dan haiwan jalanan tidak dilindungi oleh Akta sebaliknya dikendalikan oleh pihak berkuasa perbandaran. Sekiranya pihak berkuasa perbandaran atau NGO memutuskan untuk mengambil haiwan terbiar tersebut, mereka juga perlu mematuhi peraturan di bawah Akta untuk mengendalikan dan menempatkan haiwan-haiwan yang dipungut.

Lebih 400 orang pegawai kebajikan haiwan akan ditempatkan di seluruh Semenanjung dan Labuan untuk menguatkuasakan Akta tersebut. Pegawai veterinar akan dilatih dan diberi kuasa untuk bertindak atas aduan berkenaan kebajikan haiwan.

Denda minimum untuk penderaan haiwan adalah RM20,000. Di bawah undang-undang ini, mereka yang melakukan kekejaman atau kesalahan lain terhadap haiwan akan dikenakan denda antara RM20,000 hingga RM100,000, penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Akta ini bagaimana pun tidak akan dikuatkuasakan di Sabah dan Sarawak kerana mereka mempunyai undang-undang kebajikan haiwan sendiri.

 

Sumber: thestar

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button