Isu SemasaTempatan

Penurunan Kes HIV ‘Tidak Bergerak’

Angka tahunan kes baru HIV di Malaysia berjaya dikurangkan kepada setengah menerusi program-program intervensi, tetapi kadar itu terhenti dan terus tidak menurun sehingga kini.

Setiausaha Kehormat Majlis Aids Malaysia (MAC), Hisham Hussein berkata, terdapat 6,900 kes baru pada tahun 2002 berbanding 3,400 pada masa ini.

Menurut beliau, Kementerian Kesihatan telah mencapai sasaran mereka untuk mengurangkan kes HIV kepada 10 bagi setiap 100,000.

Hisham turut meluahkan kebimbangan bahawa sejak 5 tahun lalu, purata kes jangkitan baru setiap tahun adalah 3,300 hingga 3,500, tetapi kadar itu tidak menunjukkan penurunan lagi.

“Kami mahukan ia (kes HIV) menurun,” katanya sambil menambah ¬†bahawa seks yang tidak dilindungi mungkin menjadi punca perkara ini.

Dalam laporan terbaru Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Malaysia merupakan salah satu daripada 10 negara yang menyumbang kepada lebih 95% kes baru HIV di rantau Asia Pasifik pada tahun 2016.

Laporan bertajuk “Ending AIDS: Progress Towards the 90-90 Targets” itu menyatakan bahawa 9 negara lain di Asia adalah India, China, Indonesia, Pakistan, Vietnam, Myanmar, Papua New Guinea, Filipina dan Thailand.

Ia juga mengandungi analisis luas mengenai sasaran yang ditetapkan pada tahun 2020, di mana 90% individu yang dijangkiti HIV patut tahu status mereka dan 90% individu yang didiagnosis HIV patut mendapat akses rawatan terapi antiretroviral (ART).

Berdasarkan statistik MAC, sebanyak 108,519 kes HIV telah dilaporkan daripada tahun 1986 sehingga 2016.

“Kami telah melakukan keajaiban dengan program pertukaran picagari, di mana angka (kes) menurun dengan baik tahun demi tahun,” kata Hisham.

Walau bagaimanapun, kes daripada pemindahan HIV secara seksual telah meningkat beransur-ansur dan berkembang dengan drastik.

Tambah beliau lagi, jangkitan datang daripada kedua-dua hubungan heteroseksual dan homoseksual.

Tahun lepas, sebanyak 1,356 kes baru HIV dilaporkan yang melibatkan golongan berusia 20 hingga 29 tahun, manakala 103 kes lagi adalah 13 hingga 19 tahun.

“Ia adalah spektrum menyeluruh yang perlu kita lihat dan tangani,” ujar Hisham, sambil menambah bahawa golongan muda perlu dididik mengenai perkara ini.

Sumber: The Star
Tags
Show More

Related Articles

Back to top button