Isu SemasaTempatan

Kempen Beg Plastik Beri Untung Kepada Peniaga Bukan Pengguna?

Beberapa negeri telah giat mengadakan kempen kurangkan penggunaan #begplastik dan salah sebuah negeri yang sangat giat mempromosikan kempen ini disamping tidak membenarkan peniaga memberinya kepada pelanggan secara percuma ialah negeri Selangor.

Persoalan kepada kehidupan harian seseorang individu ialah apakah kebaikan yang akan saya dapat daripada kempen ini sedangkan poket saya semakin menipis apabila terlupa membawa beg sendiri ke pasaraya dan terpaksa mengeluarkan wang lebih untuk membeli beg plastik.

Menurut data di negeri Selangor, sejak permulaan kempen pengurangan beg plastik ini bermula sehingga bulan Mei 2017, 63.98% beg plastik dijual di pasaraya manakala 36.02% di kedai makan. Daripada peratusan ini, RM1,871,547.55 telah dikutip dengan jualan plastik beg di negeri Selangor sahaja.

Adakah kempen ini berkesan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat tentang pentingnya pengurangan penggunaan plastik? Sedangkan kita masih membuang sampah menggunakan beg plastik. Dahulunya mungkin kita “kitar semula” beg pasaraya percuma untuk dijadikan tempat letak sampah tetapi sekarang kita perlu membelinya.

Ia adalah perlawanan antara kewangan individu dengan misi menyelamatkan bumi.

Jika difikirkan, secara lazimnya kita sebagai manusia tentunya akan fikir tentang duit poket kita berbanding muka bumi.

Walau bagaimanapun, sebagai khalifah di muka bumi ini, kita perlu bertanggungjawab menjaga alam sekitar kita supaya anak cucu kita masih dapat menikmati keindahan alam seperti kita dapat saksikan sekarang.

Ini adalah kerana hasil buangan plastik memang sukar untuk diuraikan dan menyumbang kepada pencemaran alam terutamanya pencemaran laut. Ini kerana dikhuatiri menjelang 2050, lautan kita akan dipenuhi plastik berbanding ikan dan 99% burung pemakan ikan akan menelan sisa buangan plastik tersebut.

Mungkin ada baiknya pihak berkuasa memikirkan pelan tindakan yang lebih bijak berbanding mengaut keuntungan berjuta yang tidak pasti wang itu akan diberikan semula kepada masyarakat mahupun alam sekitar.

Baru-baru ini terdapat juga kempen untuk menghalang penggunaan straw minuman yang diperbuat daripada plastik.

Seorang pencinta alam, Mareena yang telah menubuhkan kumpulan komuniti bernama Sampah Menyampah yang telah menjalani kehidupan tanpa menggunakan plastik selama tiga tahun telah berkongsi beberapa tips untuk mengurangkan penggunaan plastik.

  1. Kenal pasti beg plastik yang terdapat di rumah anda. Basuh dan gunakannya semula untuk menyumpan makanan dalam peti sejuk atau beli sayur dan daging di pasar.
  2. Hantar botol plastik yang terdapat di rumah anda ke pusat kitar semula atau jadikannya perhiasan dengan mencantikkannya
  3. Mula gunakan bekas air yang diperbuat daripada besi tahan karat atau kaca.
  4. Bawa sendiri sudu, garfu apabila keluar dan jangan menggunakan bahan yang diperbuat daripada plastik
  5. Terdapat tempat yang menjalankan kempen bawa botol anda sendiri (#BYOB) untuk mengisi bahan pencuci anda seperti pencuci lantai, pencuci pinggan mangkuk dan sabun basuh baju. Untuk mengetahui tempat-tempatnya, anda boleh ke laman web Bring Your Own Bottle
  6. Jika terpaksa membeli barang yang menggunakan botol atau plastik, pastikan ia diperbuat daripada bahan mesra alam yang boleh dikitar semula.
  7. Gunakan sabun buku dan bukannya sabun dalam botol
  8. Sisa makanan di rumah anda boleh dijadikan baja kompos untuk tumbuh-tumbuahan di taman anda. Jika anda tidak memilik taman, anda boleh beli tong yang boleh mengkompos sisa tersebut dan apabila tong itu penuh, anda boleh ke taman terdekat untuk beri baja ataupun buang sisa tersebut.

Adakah anda boleh bersedia menyahut cabaran untuk hidup tanpa plastik 100%?

 

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close