AntarabangsaIsu Semasa

‘Penculikan Alam Maya’ Semakin Berleluasa Di AS

Polis di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) sedang berusaha membanteras kes “penculikan alam maya”.

Penculikan alam maya adalah apabila seorang ‘penculik’ (penipu) menelefon dan menipu mangsa dengan menyatakan mereka telah menculik orang tersayang mangsa dan meminta wang tebusan dengan segera.

Untuk menghalang mangsa daripada menghubungi orang lain untuk mengesahkan perkara itu, ‘penculik’ akan meminta mangsa supaya mereka kekal berada di talian.

Dalam segelintir kes, penjenayah-penjenayah ini telah menjejaki nama anak-anak mangsa di media sosial atau fakta lain yang berkaitan mereka untuk membuat seolah-olah ia adalah penculikan sebenar.

Menurut Jabatan Polis LA (LAPD), mereka telah menerima lebih daripada 250 laporan berhubung jenayah ini sejak dua tahun lalu, di mana mangsa telah pun membayar wang tebusan sekurang-kurangnya AS$ 100,000 (RM 420,000) setakat ini.

Salah seorang mangsa bernama Valerie Sobel, menyatakan bahawa penculik palsu ini mendapat rakaman suara anak perempuannya, Simone, dan kemudian mengubah suara itu supaya ia kedengaran seolah-olah berada dalam bahaya.

Dengan suara anaknya yang sedang ‘menjerit’, penculik memberitahu Sobel: “Kami mempunyai jari Simone, Anda ingin lihat bahagian lain tubuh badannya berada dalam beg mayat?”

Kerana bimbang dengan keselamatan Simone, Sobel telah menghantar wang tebusan sebanyak AS$ 4,000 (RM 17,000), dan penculik masih menipunya selama beberapa hari walaupun beliau sudah tahu penculikan itu adalah penipuan.

Oleh itu, LAPD menggesa sesiapa sahaja yang menerima panggilan-panggilan seperti ini supaya terus memadamnya dan menelefon ahli keluarga/orang tersayang yang didakwa diculik.

Dalam pada itu, salah seorang sarjan LAPD, OC Smith, juga hampir menjadi mangsa penipuan ini apabila mendengar suara perempuan menjerit ketika penculik menelefonnya.

Smith tidak berani mengambil risiko kerana bimbang suara itu mungkin adalah anak perempuannya.

Kemudian, penjenayah mengugut untuk menembak kepala anaknya sekiranya gagal membayar wang tebusan sebanyak AS$ 1 juta (RM 4.2 juta), namun Smith berunding sehingga penculik mengurangkan bayaran kepada AS$ 350 (RM 1500) sahaja.

Sementara masih dalam talian, beliau berjaya memaklumkan perkara itu kepada rakan-rakan polisnya yang lain, di mana mereka mengesahkan bahawa anaknya berada dalam keadaan selamat di sekolah.

Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) mempercayai bahawa beribu panggilan palsu ini dilakukan dari Mexico.

Sumber: Sky News
Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker