AntarabangsaIsu Semasa

Filipina: Maute Mempunyai Wang Tunai RM 84 Juta

Maute, kumpulan militan berkaitan Daesh di Filipina mempunyai wang tunai kira-kira 1.2 bilion peso (RM 84 juta) dalam tangan mereka.

Pertempuran di antara Maute  dan pasukan tentera Filipina di bandar Marawi yang bermula sejak 2 bulan lalu masih lagi berterusan sehingga hari ini.

Presiden Filipina, Rodrigo Duterte telah meminta Kongras untuk melanjutkan undang-undang tentera di Pulau Mindanao kerana keadaan di sana masih buruk.

Presiden Filipina, Rodrigo Duterte – Sumber: www.theatlantic.com

Pada 22 Julai, Kongres menunaikan permintaan Duterte dan melanjutkan undang-undang tentera sehingga akhir tahun ini, sekali gus memberi pihak tentera tempoh 5 bulan lagi untuk merampas semula Marawi daripada cengkaman militan.

Menurut seorang pegawai kanan kerajaan, Maute mengumpul kekayaan daripada pelbagai bank dan rumah yang mereka telah rampas, merompak emas dan barang kemas, serta wang hasil jualan dadah.

Pegawai tersebut berkata, maklumat ini disahkan oleh seorang Jeneral tentera yang sedang berkhidmat di Perintah Mindanao Barat (Western Mindanao Command).

Mata wang Peso – Sumber: www.123rf.com

Dron tentera juga berjaya mendapat rakaman yang menunjukkan beberapa guni wang milik Maute dimasukkan ke dalam trak pikap.

Tambah beliau lagi, penduduk tempatan yang menjadi tebusan dan berjaya melepaskan diri menyatakan bahawa mereka dipaksa untuk mencuri barang daripada pelbagai rumah dan bangunan kerajaan di Marawi.

Seorang pegawai tentera muda yang tercedera dalam krisis Marawi, Lt. Kent Fagyan, kumpulan Maute telah ‘upgrade’ atau meningkatkan stok senjata, logistik dan juga taktik perjuangan mereka.

Ini menyukarkan pasukan tentera untuk menamatkan pertempuran yang telah memasuki bulan ketiga itu.

Pasukan tentera bertempur di Bandar Marawi – Sumber: www.dw.com

“Mereka mempunyai banyak kaliber .50 (senapang), pengimbas frekuensi radio, dan mereka dilihat mempunyai jumlah peluru yang tidak terhingga,” kata Fagyan.

Bercakap mengenai peningkatan taktik perjuangan Maute, sumber kerajaan menyatakan bahawa pejuang Daesh yang berpengalaman dari Mosul, Iraq dan Aleppo, Syria datang ke Marawi dan berganding bahu dengan Maute.

“Mereka adalah profesional dan pakar dalam pertempuran di bandar; mereka juga tahu cara menggunakan IED (bahan letupan buatan sendiri), dan terdapat penembak tepat (sniper) dalam kalangan mereka,” kata sumber itu.

Bahan letupan buatan sendiri (IED) – Sumber: en.wikipedia.org

Pada 1 Jun lalu, Setiausaha Pertahanan, Delfin Lorenzana mengesahkan bahawa 8 orang pejuang militan asing telah dibunuh oleh tentera kerajaan di Marawi.

2 orang adalah dari Arab Saudi, dan selebihnya daripada Malaysia, Indonesia, Yaman dan Chechnya.

Menurut seorang Komander tentera yang sudah bersara, pejuang-pejuang asing ini menggunakan ‘laluan belakang’ menerusi laut daripada Malaysia atau Indonesia untuk masuk ke Filipina.

Oleh itu, Angkatan Bersenjata Filipina (AFP) mengenal pasti masalah ini dan akan berusaha memperbaiki dasar imigresen negara.

Sumber: Arab News
Tags
Show More

Related Articles

Back to top button