AntarabangsaIsu Semasa

Pembelot Korea Utara Mungkin Ajen Perisik

Polis Korea Selatan sedang menjejaki 900 orang warga Korea Utara yang belot kerana bimbang mungkin terdapat ajen perisik dalam kalangan mereka.

Kini, lebih daripada 30,000 warga Korea Utara dilaporkan sedang menetap di Korea Selatan.

Agensi Polis Negara Korea Selatan menyatakan bahawa mereka telah mengarahkan perisik negara untuk meningkatkan usaha menghalang pembelot daripada kembali ke negara asal mereka.

Pada 9 Julai, Im Ji-hyun, seorang pembelot yang terkenal di Korea Selatan, muncul dalam video propaganda Korea Utara di laman web Uriminzokkiri (laman web Korea Utara).

Dalam video tersebut, Ji-hyun mendakwa bahawa beliau pulang semula ke Korea Utara kerana menjalani “kehidupan yang tidak berperikemanusiaan” di Korea Selatan, di mana wang adalah segala-galanya.

“Saya ingin menjana wang dan bekerja keras di bar di Selatan. Tetapi di Korea Selatan, wang adalah segala-galanya dan ia menjejaskan kesejahteraan mental dan fizikal saya,” katanya di dalam video tersebut.

Polis Korea Selatan kini sedang menyiasat motif Ji-hyun kembali ke Korea Utara. Kepulangannya juga menimbulkan pelbagai spekulasi.

Im Ji-hyun, salah seorang pembelot Korea Utara – Sumber: www.allkpop.com

Ada pihak yang mengatakan bahawa rejim Korea Utara mungkin telah menculiknya daripada China, dan ada juga dakwaan bahawa beliau merupakan seorang ajen perisik rejim itu.

Di Korea Selatan, Ji-hyun sering muncul di rancangan-rancangan televisyen tempatan dan insiden beliau kembali semula ke tanah air dilihat sebagai satu petanda bahaya.

Apabila pembelot Korea Utara sampai ke Korea Selatan, mereka dihantar ke Hanawon, iaitu sebuah pusat latihan penyesuaian diri.

Selepas meninggalkan pusat latihan itu, setiap pembelot akan dipasangkan dengan seorang pegawai polis yang akan menjaga dan memantau mereka.

Namun, komunikasi amat jarang berlaku di antara mereka, melainkan jika pembelot itu mempunyai latar belakang yang baik di Korea Utara ataupun merupakan seorang yang popular.

Unit perisikan polis pula mempunyai sumber yang terhad, dan mereka terpaksa memantau pembelot secara selektif.

Selain itu, Ji-hyun bukan satu-satunya pembelot yang pulang semula ke tanah air mereka.

Menurut pihak berkuasa, seramai 25 orang telah berbuat demikian sejak bulan Disember 2011 apabila Kim Jong-un mula berkuasa.

Ada pihak yang mengatakan bahawa Kim menggunakan pembelot yang kembali ke Korea Utara untuk melakukan kekecohan di Selatan, dengan menggunakan taktik penipuan untuk memancing mereka untuk pulang, jika perlu.

Terdapat satu kes yang melibatkan seorang lelaki bernama Kang yang telah lari ke Korea Selatan pada tahun 2015.

Tetapi, beliau kembali semula ke Korea Utara dengan bantuan rejim itu pada tahun lepas.

Kang kemudian muncul di televisyen, di mana beliau dilihat menghentam Korea Selatan dan memuji-muji Korea Utara.

Walau bagaimanapun, Kang kembali semula ke Korea Selatan pada bulan Mei tahun ini, dan beliau kini berada di bawah tahanan polis dan disoal siasat.

Di Korea Selatan, melawat Korea Utara adalah satu kesalahan jenayah.

Sumber: Korea Times
Tags
Show More

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker