AntarabangsaIsu SemasaPolitik

Konflik Itali & Perancis Dalam Krisis Libya

Baru-baru ini, Perancis melancarkan inisiatif diplomatik dalam usaha menyelesaikan krisis yang telah lama berlarutan di Libya.

Walau bagaimanapun, campur tangan itu mencetuskan kemarahan Itali yang melihat inisiatif itu sebagai satu ‘penghinaan’ yang dilakukan oleh Presiden Perancis, Emmanuel Macron terhadap mereka, tambah-tambah lagi kerana Perancis tidak berbincang bersama Itali terlebih dahulu.

Sebelum ini, Perancis mengesahkan laporan bahawa ia akan mengendalikan sesi rundingan antara ketua kerajaan Libya, Fayez al-Serraj dan Khalifa Haftar, seorang komander tentera yang berkuasa di bahagian timur negara itu.

Tetapi, Itali telah memulakan dan mendahului usaha untuk mengembalikan keamanan di Libya.

“Macron mahu lebih terlibat dalam Libya. Ia tidak mengapa, tetapi beliau telah menolak kita ke tepi,” kata seorang diplomat di Kementerian Luar Itali yang enggan namanya didedahkan kerana sensitiviti isu tersebut.

Ujar beliau lagi, Perancis tidak membuat sebarang konsultasi atau perbincangan terlebih dahulu sebelum melaksanakan inisiatif mereka.

 

KECAMAN PIHAK PEMBANGKANG

Giorgia Meloni, anggota pembangkang di Itali – Sumber: espresso.repubblica.it

Memburukkan lagi keadaan, puak pembangkang di Itali menuduh kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Paolo Gentiloni sengaja membenarkan Perancis menyingkirkan Itali dan ‘mengambil alih’ usaha mereka untuk membawa keamanan di Libya.

“Mesyuarat Libya yang dianjurkan oleh Perancis…menunjukkan kegagalan dasar luar (Itali),” kata Giorgia Meloni, ketua pembangkang parti Brothers of Italy menerusi laman Twitternya.

Ujarnya lagi, langkah itu ibarat “merampas peranan tradisional Itali dalam menjadi orang tengah utama dalam menyelesaikan krisis Libya.”

Namun, pejabat Macron menyatakan bahawa inisiatif yang diambil bukan bermaksud untuk menghina Itali.

“Ini bukan satu inisiatif yang menyingkirkan pihak lain,” kata Elysee (pejabat Macron).

Dalam pada itu, Gentiloni ditanya apa pandangannya mengenai langkah yang diambil oleh Perancis, dan secara ringkas beliau berkata: “Mari kita lihat. Saya harap ia terbukti psoitif.”

 

AMARAN ITALIĀ 

Bekas Perdana Menteri Itali, Romano Prodi – Sumber: sputniknews.com

Kerajaan pimpinan Gentiloni menyambut baik pelantikan Macron sebagai presiden pada bulan Mei.

Itali melihat Macron sebagai seorang pemimpin berhaluan sederhana pro-Eropah yang boleh membantu Rom dalam pelbagai isu berat, termasuk bagaimana untuk menangani kemasukan pendatang asing yang tidak terkawal di seluruh Mediterranean.

Namun di sebuah sidang kemuncak di Trieste pada bulan ini, Macron mengakui bahawa Paris tidak berapa membantu, di mana beliau juga “cakap tidak serupa bikin” untuk menangani krisis migran di Itali.

Memetik laporan Reuters, Perancis menutup sempadan selatan mereka dan tidak membenarkan pendatang asing yang ingin meninggalkan Itali daripada memasuki negara itu.

Menurut Romano Prodi, bekas perdana menteri Itali, Macron meletakkan kepentingan Perancis dahulu dengan ‘mengorbankan’ Itali.

Prodi memberi amaran bahawa langkah itu boleh mengurangkan sokongan Itali terhadap Perancis di Eropah.

“Solidariti adalah simetri. Untuk menerima, anda harus memberi,” kata Prodi sambil menambah bahawa Macron “sangat meminggirkan” Rom.

 

PERANCIS KECEWA DENGAN ITALI

Perdana Menteri Itali, Paolo Gentiloni (kiri) dan Presiden Perancis, Emmanuel Macron (kanan) – Sumber: www.philstar.com

Awal tahun ini, Itali membuka semula kedutaan mereka di Tripoli, Libya.

Ia merupakan misi diplomatik Barat yang pertama untuk kembali ke Libya berikutan kekecohan yang melanda negara itu selepas kejatuhan bekas pemimpin, Muammar Gaddafi.

Itali juga telah menubuhkan hospital tentera berdekatan bandar barat Misrata dan mengetuai misi pendatang asing Mediterranean Kesatuan Eropah (EU), di mana mereka turut memberi latihan kepada pengawal pantai Libya.

Namun, seorang pegawai Perancis (selepas pelantikan Macron), meluahkan kekecewaannya terhadap diplomasi Itali.

Beliau berkata, Rom melakukan kesilapan kerana menyokong kumpulan militia yang berpangkalan di Misrata.

Tambahnya lagi, Haftar perlu diberi peranan signifikan untuk menjamin keamanan sambil mengakui bahawa Perancis tidak mahu melibatkan Rom pada awalnya.

“Kita tidak boleh berkata apa-apa kepada warga Itali, kerana mereka rasa ini adalah subjek (kepakaran) mereka,” katanya.

Ujar beliau, warga Itali tidak akan suka dengan langkah Perancis, tetapi lambat laun mereka perlu sedar akan situasi sebenar.

Sumber: Reuters

 

 

 

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker