AntarabangsaIsu Semasa

Sebuah Sekolah Di Australia Benarkan Pelajar Merokok

Sebuah sekolah di Sydney, Australia bernama The Warakirri College, membenarkan pelajar seawal usia 15 tahun untuk merokok pada waktu makan tengah hari dan waktu rehat lain.

Pengetua sekolah itu, Carolyn Blanden, mempercayai bahawa peraturan yang fleksibel atau ‘relaks’ akan menggalakkan lagi kanak-kanak untuk terus menghadiri sekolah.

“Di sekolah saya, anda boleh datang dengan rambut biru terang dan besi (tindik) di muka anda.

“Dan jika anda perlu merokok, ia juga tidak mengapa,” kata Blanden.

Seorang pelajar (nama tidak didedahkan) daripada kampus Warakirri di Blacktown memberitahu bahawa larangan merokok sebelum ini merupakan salah satu sebab dia enggan pergi ke sekolah.

Blanden menyatakan bahawa beliau lebih rela melihat anak-anak muridnya menghisap rokok dan mengetahui segala risiko tabiat itu, daripada membiarkan mereka berkeliaran di jalanan atau berada dalam tahanan.

Memetik laporan Independent UK, kebanyakan pelajar di sekolah itu datang daripada keluarga yang bermasalah, di mana ramai ibu bapa mereka berada dalam penjara atau ketagihan dadah.

“Anda mendapat banyak kebebasan. Anda tidak selalu terperangkap dalam sebuah kotak,” kata Nathan Collins, pelajar di sekolah itu.

Collins, 15, sebelum ini berhenti bersekolah kerana sering dibuli, namun beliau kembali semula dalam dunia persekolahan selepas mendapat galakan daripada Warakirri.

“Guru-guru semua sangat bersahaja dan baik terhadap anda,” katanya sambil menambah bahawa pelajar di situ juga tidak akan diganggu oleh pelajar lain.

Di bawah kurikulum sekolah itu, para pelajar boleh mempelajari 3 subjek dalam tempoh setahun, berbanding 6 subjek sekali gus dalam tempoh dua tahun.

Sekolah tersebut juga mengaplikasikan persekitaran pembelajaran gaya orang dewasa, di mana para pelajar tidak perlu memakai pakaian seragam (uniform).

Warakirri College merupakan sebuah inisiatif MTC Australia, sebuah badan amal yang menjadi penaja sekolah itu supaya pelajar tidak perlu membayar sebarang yuran.

Ia mengambil pelajar berusia antara 15-22 tahun dan terdapat juga segelintir pelajar dari kalangan pelarian yang telah ketinggalan pendidikan rasmi selama beberapa tahun.

Sumber: Independent UK

 

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button