AntarabangsaIsu Semasa

AS Tamatkan Larangan Komputer Riba Dalam Pesawat

Amerika Syarikat telah menamatkan larangan komputer riba selama 4 bulan bagi penumpang yang menaiki penerbangan ke negara itu daripada beberapa lapangan terbang di Timur Tengah dan Afrika Utara.

Jabatan Keselamatan Dalam Negeri AS mengesahkan menerusi laman Twitter bahawa Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Khalid di Riyadh merupakan lapangan terbang yang terakhir (daripada 10 lapangan terbang) yang akan dikecualikan daripada larangan tersebut.

Syarikat-syarikat penerbangan di Timur Tengah menyalahkan larangan tersebut yang dicadang oleh Presiden Donald Trump, di mana langkah itu turut mengharamkan rakyat daripada sesetengah negara Islam daripada melawat AS.

Pada bulan Mac, AS melarang penumpang daripada membawa barangan elektronik besar di dalam kabin pesawat daripada 10 lapangan terbang di Timur Tengah dan Afrika Utara atas alasan “bimbang” terhadap kemungkinan bahan letupan boleh disembunyikan dalam alat peranti itu.

Setakat ini, larangan tersebut telah dimansuhkan di 9 syarikat penerbangan yang terkesan iaitu – Saudi Arabian Airlines (Saudia), Emirates, Etihad Airways, Qatar Airways, Turkish Airlines, Royal Jordanian, Kuwait Airways, EgypAir dan Royal Air Maroc.

Syarikat-syarikat tersebut merupakan syarikat yang menyediakan penerbangan terus daripada rantau itu ke Amerika Syarikat.

Walau bagaimanapun, larangan terhadap rakyat daripada 6 negara majoriti Islam seperti Iran, Libya, Somalia, Sudan, Syria dan Yaman masih dikekalkan.

Dalam pada itu, Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) mengkritik larangan komputer riba itu dan menyifatkannya sebagai satu langkah yang tidak berkesan.

Pakar keselamatan berpandangan bahawa anggota militan masih boleh pergi ke Amerika Syarikat menerusi Eropah atau mana-mana sahaja negara yang tidak dikenakan larangan itu.

Memetik laporan Arab News, pegawai AS menarik semula larangan itu selepas melawat 10 lapangan terbang di Arab Saudi, UAE, Kuwait, Qatar, Egypt, Maghribi, Jordan dan Turki sejak tiga minggu lalu untuk mengesahkan bahawa langkah keselamatan baru yang diperkenalkan pada bulan lepas mula dikuatkuasakan.

Langkah baru ini termasuk pemeriksaan penumpang yang lebih ketat, peningkatan protokol keselamatan di sekitar pesawat dan di kawasan penumpang.

Difahamkan, mana-mana syarikat penerbangan yang gagal mematuhi peraturan baru ini boleh dikenakan larangan elektronik seperti yang telah dilakukan sebelum ini.

Sumber: Arab News
Tags
Show More

Related Articles

Back to top button