AntarabangsaIsu Semasa

IS Akhirnya Mengesahkan Kematian Baghdadi

Bulan lepas, Kementerian Pertahanan Rusia menyatakan bahawa ketua militan IS, Abu Bakr al-Baghdadi, mungkin terbunuh dalam satu serangan udara tentera Rusia di bandar Raqqa, Syria.

Hari ini, kumpulan tersebut akhirnya mengakui kematian ketua mereka.

Memetik laporan Daily Mail, kumpulan pengganas itu telah mengesahkan bahawa Baghdadi terkorban dalam satu serangan udara, namun ia sebaliknya berlaku di wilayah Nineveh, Iraq.

Kini, IS turut dilaporkan sedang berebut untuk mencari pengganti ketua mereka. Awal bulan ini, salah seorang ‘pendakwah’ dan pemimpin IS telah dibunuh oleh anggota-anggota militan itu sendiri selepas dia secara tidak sengaja menyatakan bahawa Baghdadi telah mati.

Ketua militan IS, Abu Bakr al-Baghdadi – Sumber: csweb.brookings.edu

Namun menurut media Iraq, larangan untuk bercakap mengenai kematian ketua IS dalam kalangan kumpulan itu telah dimansuhkan

Sekiranya perkara ini benar, kematian Baghdadi menandakan satu lagi ‘tamparan hebat’ kepada IS selepas kekalahan mereka di Mosul.

Pasukan tentera Iraq mengiktiraf kemenangan mereka pada hari Isnin selepas berjaya membebaskan bandar tersebut daripada cengkaman kumpulan itu.

Balai Cerap Syria bagi Hak Asasi Manusia berkata, mereka juga menerima maklumat daripada pemimpin-pemimpin kanan kumpulan IS yang mengesahkan kematian Baghdadi.

“Komander pangkat tinggi daripada IS yang berada di wilayah Deir Ezzor telah mengesahkan kematian Abu Bakr al-Baghdadi, ‘khalifah’ kumpulan IS, kepada Balai Cerap,” kata pengarahnya, Rami Abdel Rahman kepada agensi berita AFP.

“Kami mengetahuinya hari ini, tetapi kami tidak tahu bagaimana ┬ádan bila dia (Baghdadi) meninggal dunia,” tambah Rami.

Walau bagaimanapun, Pentagon menyatakan bahawa mereka tidak mempunyai sebarang maklumat yang boleh menyokong dakwaan mengenai kematian Baghdadi.

Menurut Pentagon, mereka akan melihat sumber risikan yang ada dan akan mengeluarkan kenyataan apabila mendapat fakta yang diperlukan.

“Kami tidak boleh mengesahkan laporan ini, tetapi kami harap ia benar,” kata jurucakap tentera gabungan AS, Kolonel Ryan Dillon.

Sebelum ini, Baghdadi dikatakan hanya menonjol diri ketika mengiktiraf dirinya sebagai ‘khalifah’ di Masjid Al-Nuri di Mosul pada tahun 2014.

Sumber: Daily Mail
Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker