AntarabangsaIsu SemasaPolitik

Kemboja: Pinda Undang-Undang Pilihan Raya

Semalam, parlimen negara Kemboja meminda undang-undang baru yang akan melarang mana-mana parti politik daripada mempunyai sebarang hubungan atau kerjasama dengan individu-individu yang disabitkan atas kesalahan jenayah.

Bagi parti pembangkang, pindaan ini dilihat sebagai langkah untuk menyekat pesaing-pesaing Perdana Menteri, Hun Sen menjelang pilihan raya pada tahun depan.

Secara khususnya, ia bertujuan untuk menghalang pembangkang daripada terus mengekalkan hubungan dengan bekas pemimpin mereka, Sam Rainsy.

Memetik laporan Japan Times, Sam Rainsy disabitkan bersalah atas kesalahan melakukan fitnah.

Beliau telah meletak jawatan sebagai pemimpin partinya, Parti Penyelamat Kebangsaan Kemboja (CNRP), susulan satu pindaan undang-undang pada bulan Februari lalu.

Pindaan pada bulan Februari itu menetapkan bahawa individu yang terlibat dalam jenayah tidak dibenarkan untuk memegang sebarang jawatan awam.

Dalam pada itu, Rainsy juga mengusir dirinya sendiri dan menetap di Perancis lebih daripada 1 tahun setengah untuk mengelak daripada dipenjarakan atas kesalahannya.

Pindaan undang-undang yang terkini telah diboikot oleh pihak pembangkang, di mana mereka menyifatkannya sebagai undang-undang haram.

Namun, ia tetap diluluskan selepas 66 ahli parlimen dari parti pemerintah, Parti Rakyat Kemboja (CPP) sebulat suara menyokong langkah tersebut.

Pindaan itu turut memerlukan kelulusan daripada Senat yang dikawal oleh parti pemerintah.

Di bawah undang-undang baru, mana-mana parti politik yang melanggar undang-undang negara boleh digantung selama 5 tahun atau dibubarkan terus.

Pesalah juga dilarang untuk terlibat dalam kegiatan politik menerusi sebarang bentuk gambar, rakaman audio dan juga penulisan.

“Undang-undang yang dicadangkan itu berunsur politik dan ia adalah tekanan politik terhadap hak individu, parti dan juga pesaing,” kata CNRP dalam satu kenyataan.

Namun, CPP menafikan sebarang dakwaan bahawa pemindaan undang-undang tersebut adalah untuk mengekang pihak pembangkang.

Menurut ahli parlimen terkemuka parti pemerintah, Chheang Vun, pindaan itu bertujuan bukan untuk memberi tekanan kepada parti pembangkang, tetapi ia adalah untuk memastikan semua parti politik menghormati undang-undang.

Perdana Menteri Hun Sen telah memerintah Kemboja lebih daripada 3 dekad, sekali gus menjadikan beliau pemimpin yang paling lama memerintah negara tersebut.

Walau bagaimanapun,  beliau masih belum menunjukkan sebarang petanda untuk melepaskan kuasanya.

Asean Parliamentarians for Human Rights (APHR) berkata, CPP dilihat seolah-olah meningkatkan lagi ‘gangguan’ terhadap pihak pembangkang dengan melaksanakan pindaan tersebut.

Sumber: The Sun, Japan Times
Show More

Related Articles

Back to top button