AntarabangsaIsu Semasa

Amnesty International Gesa Gabungan Tentera AS-Iraq Disiasat

Kumpulan NGO hak asasi manusia, Amnesty International mengecam pasukan tentera gabungan Amerika Syarikat (AS) di bandar Mosul Iraq, berikutan kesilapan mereka dalam melancarkan serangan udara untuk mengekang militan IS, namun turut mengorbankan banyak nyawa orang awam.

Untuk mengambil tindakan terhadap pasukan tentera, NGO tersebut menggesa penubuhan satu suruhanjaya khas untuk menyiasat segala kesalahan yang telah dilaporkan.

Dalam sebuah laporan yang disiarkan baru-baru ini, Amnesty International menegaskan beberapa isu penting, termasuk skala kehilangan nyawa orang awam dan penderitaan yang mereka lalui semasa operasi ketenteraan untuk membebaskan bandar Mosul daripada cengkaman kumpulan militan IS.

Berdasarkan laporan bertajuk “At any cost: The civilian catastrophe in West Mosul” itu, sekurang-kurangnya 426 orang awam terkorban dan lebih 100 tercedera, sama ada disebabkan pengganas atau pengeboman yang dilancarkan oleh gabungan tentera antarabangsa yang menyaksikan 45 serangan daripada bulan Januari sehingga pertengahan Mei.

Sementara itu, sekurang-kurangnya 105 orang mangsa meninggal dunia dalam serangan udara AS di daerah al-Jadida, barat Mosul pada 17 Mac, sedangkan tentera gabungan ingin menghapuskan hanya 2 orang penembak tepat (sniper) militan IS.

Memetik laporan agensi berita RT, laporan Amnesty International itu adalah berlandaskan data pakar dan maklumat yang diberikan oleh penduduk tempatan.

“Pasukan gabungan antarabangsa dan Iraq gagal untuk mengambil langkah mencukupi untuk melindungi orang awam,” kata Lynn Maalouf, Pengarah Penyelidikan Amnesty International di Timur Tengah.

Lynn berkata, pasukan tentera gabungan turut menggunakan senjata yang tidak sepatutnya digunakan di kawasan awam yang mempunyai penduduk padat.

Malah, beliau turut menegaskan bahawa sesetengah kesalahan yang dilakukan telah melanggar undang-undang antarabangsa, di mana ia boleh dianggap sebagai jenayah peperangan.

Menurut Lynn, walaupun pengganas IS secara terang telah melakukan pelbagai kekejaman yang melanggar undang-undang antarabangsa, tentera Iraq dan AS tidak boleh menjadikan kejadian itu sebagai alasan untuk mereka untuk bertindak sesuka hati.

“Tindakan IS menggunakan orang sebagai perisai manusia tidak mengurangkan kewajipan tentera pro-kerajaan untuk melindungi orang awam,” kata beliau.

Ujarnya lagi, perancang tentera perlu lebih berjaga-jaga, di mana mereka sepatutnya menggunakan senjata untuk memastikan serangan yang dilancarkan tidak bercanggah dengan undang-undang.

Sumber: RT
Tags
Show More

Related Articles

Back to top button