AntarabangsaIsu Semasa

Ramai Pekerja Warga Asing Tinggalkan Thailand

Undang-undang buruh baru di Thailand ternyata mencetuskan ketakutan bagi ribuan pekerja asing warga Kemboja dan Myanmar apabila mereka mula pulang ke negara masing-masing untuk mendapatkan dokumen sah sebelum datang semula ke sana untuk bekerja.

Peraturan baru ini juga dilaporkan lebih ketat berbanding sebelum ini sehingga menyebabkan ramai majikan berhenti mengambil pekerja haram warga asing.

Di bawah undang-undang tersebut, majikan yang mengambil pekerja haram boleh dikenakan denda sebanyak Bt 400,000 (RM 50,362) hingga Bt 800,000 (RM 100,725) bagi setiap pekerja sekiranya didapati bersalah.

Kerajaan Thailand berkata, penguatkuasaan undang-undang baru itu akan digantung bagi tempoh 120 hari (telah bermula pada 23 Jun) untuk memberi masa kepada semua pihak yang terlibat untuk menyesuaikan diri dan mematuhi syarat baru yang ditetapkan.

Namun, ramai majikan mula mengadu kekurangan pekerja memandangkan 90% pekerja adalah dari kalangan warga asing.

Menurut ketua imigresen Sa Kaew, Kolonel Benjapol Rodsawad, pekerja asing Kemboja secara rela menyerah diri di pusat pemeriksaan sempadan untuk diserahkan kepada pihak berkuasa negara mereka.

Kebanyakan warga Kemboja menyatakan bahawa mereka ingin pulang ke tanah air untuk memohon pasport supaya mereka boleh kembali ke Thailand untuk bekerja secara sah.

Dalam pada itu, segelintir pekerja asing berkata, mereka diarahkan oleh majikan untuk berhenti kerja dan meninggalkan Thailand kerana bimbang dikenakan denda berat.

Undang-undang baru itu turut menetapkan bahawa pekerja asing boleh dikenakan hukuman berat, termasuk bayaran denda sebanyak Bt 2,000 (RM 252) hingga Bt 100,000 (RM 12,591) setiap orang dan/atau hukuman penjara sehingga 5 tahun, jika ditahan atas kesalahan bekerja tanpa permit.

Berdasarkan laporan pihak imigresen, seramai 546 warga Kemboja telah ditahan kerana memasuki Thailand di beberapa wilayah seperti Saraburi, Ayuthaya, Samut Prakan dan Pattani.

Selain itu, pihak berkuasa Myanmar di wilayah Myawaddy berdekatan sempadan Thailand telah membuka kemudahan sementara untuk menampung lebih daripada 10,000 orang rakyat mereka yang kembali semula ke sana selepas meninggalkan Thailand.

Mereka juga diberi makanan dan tempat berteduh sementara membuat persediaan untuk pulang ke kampung halaman masing-masing.

Sekurang-kurangnya 8,491 orang warga Myanmar dilaporkan telah meninggalkan Thailand dua minggu lalu, dan pihak berkuasa Myanmar turut menerima kepulangan mereka dengan baik tanpa mengenakan sebarang tindakan undang-undang.

Sumber: The Star

 

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button