AntarabangsaIsu SemasaKesihatan

Kajian: Kes Kanser Lebih Banyak Daripada Jumlah Perkahwinan

Sebuah kajian terbaru mendapati bahawa pada masa kini, kes kanser lebih banyak daripada jumlah perkahwinan atau ibu yang melahirkan anak pertama.

Berdasarkan analisis Macmillan Cancer Support, terdapat 361,216 kes kanser yang didiagnosis di United Kingdom (UK) pada tahun 2014 manakala jumlah pasangan yang berkahwin pula hanya mencatat 289,841.

Pada tahun 2015, seramai 271,050 orang bayi dilahirkan oleh “first-time mothers” atau wanita yang menjadi ibu buat pertama kali di England dan Wales, berbanding 319,011 kes penyakit kanser.

Data tersebut turut menunjukkan bahawa lebih daripada 1.2 juta orang telah menghidap penyakit itu di bawah usia 65 tahun sejak satu dekad lalu.

Ini termasuk 343,000 orang di UK yang menghidapnya pada usia 20an, 30an atau 40an antara tahun 2006 dan 2015.

Penyelidik turut meramalkan bahawa kira-kira setengah daripada populasi manusia akan menghidap kanser pada suatu tempoh dalam hidup mereka.

Namun, 90% individu yang menderita penyakit ini berkata, mereka masih cuba sedaya upaya untuk hidup seperti biasa.

“Diberitahu anda mempunyai kanser mengubah hidup anda, dan ia boleh menyebabkan orang merasakan seolah-olah mereka telah terperangkap dalam sesuatu yang tidak diketahui, dalam keadaan keliru dan tidak bersedia,” kata ketua eksekutif Macmillan Cancer Support, Lynda Thomas.

Lynda berkata, semakin ramai orang yang didiagnos dengan kanser, ia amat penting supaya setiap orang dimaklumkan tentang apa yang patut dijangka sekiranya mereka turut menghidapi penyakit ini pada masa akan datang.

“Kanser sentiasa mengubah hidup, tetapi ia bukan penghujung kehidupan. Hidup dengan kanser masih kehidupan – anda masih seorang bapa, kaka, atuk, atau kawan,” ujarnya lagi.

Dalam sebuah kajian yang melibatkan 2,000 orang, 37% menganggap kanser sebagai penyakit yang paling ditakuti, di ikuti Alzheimer (27%), strok (7%), kemurungan (4%), penyakit jantung (4%), dan penyakit sklerosis berbilang (2%).

Selain itu, bagi 1 daripada 10 orang atau 10% penduduk di UK, kanser adalah ketakutan yang terbesar berbanding ketakutan untuk kehilangan orang yang tersayang, kematian sendiri mahupun terorisme (keganasan).

Sumber: Sky News

Show More

Related Articles

Back to top button