AntarabangsaIsu Semasa

Remaja Yazidi Cerita Pengalaman Menjadi Mangsa Culik IS

Seorang remaja lelaki etnik Yazidi yang menjadi mangsa culik militan IS mendedahkan taktik ganas yang digunakan oleh kumpulan itu untuk ‘brain wash’ tentera kanak-kanak bawah pimpinan mereka.

Remaja tersebut yang dikenali sebagai Arsem Ibraham telah diculik pada tahun 2013 ketika beliau baru berusia 13 tahun semasa IS menyerang penduduk di Gunung Sinjar, Iraq.

Menceritakan pengalamannya, Ibraham dan kanak-kanak lelaki lain yang turut ditangkap telah diasingkan daripada orang dewasa.

Wanita dan kanak-kanak perempuan dijual menjadi hamba seks manakala lelaki dewasa pula dibunuh.

“Kemudian, mereka menutup mata saya, tetapi saya masih boleh dengar bunyi tembakan. Tiga tembakan terhadap seorang lelaki,” katanya.

Menurut beliau, kanak-kanak lelaki yang terselamat, termasuk dirinya, kemudian dibawa ke bandar Raqqa di Syria, di mana mereka dipaksa untuk menyertai satu kumpulan bergelar “Anak-Anak Khalifah”.

Di sana, mereka dilatih bagaimana untuk berjuang demi kumpulan itu menggunakan senapang automatik dan pelancar roket.

IS turut menunjuk rakaman-rakaman video serangan berani mati dan meminta remaja-remaja tersebut untuk “menyanjungi” perbuatan mereka.

Ibraham berkata, beliau juga dibawa ke kem tentera selama 6 bulan, di mana beliau diarahkan untuk membunuh warga Kurdish dan kumpulan pemberontak seperti Free Syrian Army.

Militan IS turut menggelar kumpulan-kumpulan tersebut sebagai “kafir”.

Tahun lepas, pihak berkuasa Kurdish mendedahkan bahawa seramai 600 orang kanak-kanak Yazidi telah diculik oleh IS, tetapi hanya 200 orang berjaya melarikan diri.

Memetik laporan Independent UK, IS dikatakan meletak pejuang yang paling berpengalaman di barisan hadapan dan menggunakan tentera kanak-kanak dalam kedudukan sentri dan skuad pengebom berani mati.

“Kami diberitahu bahawa sesiapa yang meletupkan diri sendiri akan masuk syurga,” kata Ibraham.

Remaja itu juga terdengar perbualan IS yang merancang untuk menghantar segelintir remaja lelaki melalui Turki untuk melancarkan serangan di Eropah.

Menurut Ibraham, IS berkata: “Jangan risau. Kia akan melancarkan serangan besar-besaran di Eropah. IS sedang bekerja keras untuk itu.”

Sumber: Independent UK

 

 

 

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button