Kesihatan

Paracetamol: Adakah Ia Betul-Betul Selamat?

Paracetamol (atau lebih mesra dengan panggilan Panadol di Malaysia) ditemui secara tidak sengaja pada 1880-an. Ia mula dipasarkan pada tahun 1955 sebagai anti-pyretic (untuk melegakan demam) dan analgesik (untuk melegakan sakit).

Paracetamol adalah salah satu ubat yang paling biasa digunakan di seluruh dunia kerana ia boleh didapati tanpa preskripsi doktor, mempunyai pelbagai kegunaan, murah dan selamat untuk digunakan.

Namun begitu, terdapat beberapa skandal yang mengatakan bahawa “Doktor sendiri tidak mengambil paracetamol kerana ia membawa kepada kegagalan hati yang memerlukan dialisis buah pinggang”.  Adakah ini benar?

Paracetamol disyor untuk digunakan, sama ada bersendirian atau dalam kombinasi dengan ubat penahan sakit yang lebih kukuh untuk merawat sakit yang ringan, sederhana dan teruk.

Ia juga sering digunakan untuk merawat sakit seperti sakit sendi, sakit otot atau sakit tendon. Ia dipilih untuk digunakan pada pesakit di mana ubat penahan sakit lain seperti NSAID tidak boleh digunakan seperti kepada wanita hamil, kanak-kanak, orang-orang dengan ulser gastrik dan gangguan darah.

Yang menghairankannya di sini adalah, mekanisme tepat terhadap tindakan paracetamol belum dapat ditentukan sepenuhnya walaupun telah diterima secara meluas sebelum ini bahawa ia mempunyai kesan bertindak secara berpusat (kepada otak).

Walau bagaimanapun, kajian terbaru daripada penyelidikan yang berterusan telah menunjukkan bahawa paracetamol bertindak pada semua peringkat kesakitan (kesan analgesik) dan juga untuk kesan anti-demam.

Menurut Dr. Hidayah seorang pensyarah perubatan di sebuah universiti tempatan dengan Sarjana Farmakologi, pada dos maksimum 4g / 24jam (biasanya 1 tablet mengandungi 500mg jadi 4g adalah 8 tablet), tiada kesan sampingan yang serius akan berlaku kecuali mungkin reaksi alahan pada kulit.

Tetapi, pada dos yang lebih tinggi daripada dos yang disyorkan atau jika ia diambil untuk tempoh masa yang panjang, paracetamol boleh menyebabkan beberapa kesan sampingan.

Selepas seseorang menelan satu tablet paracetamol, 90% daripadanya akan dimetabolismakan (diproses) oleh hati untuk mengeluarkan hasil sampingan yang tidak aktif atau metabolit yang dikumuhkan melalui buah pinggang (melalui air kencing kita). Hanya 5% yang dikumuhkan tidak berubah.

Secara keseluruhan, paracetamol adalah ubat yang selamat untuk digunakan untuk demam dan rawatan sakit mengikut dos yang disarankan.

Ia mempunyai kesan yang dikehendaki dan juga boleh diterima oleh kebanyakan orang yang menggunakannya.

Namun, sekiranya ia disalahgunakan atau untuk sebab-sebab seperti teknik menguruskan badan, atau digunakan bersama-sama dengan ubat-ubatan lain atau alkohol atau rokok, akan menyebabkan kerosakan hati atau kematian.

Oleh itu, adalah penting bagi anda untuk menggunakannya hanya seperti yang diarahkan.

Sumber: Malaysian Medical Gazette
Show More

Related Articles

Back to top button