AntarabangsaIsu SemasaPolitik

Duterte Berang, Ugut “Makan Hati Militan”

Tindakan militan Abu Sayyaf memenggal kepala dua orang tebusan pelayar Vietnam baru-baru ini ternyata mencetuskan kemarahan luar biasa bagi Presiden Filipina, Rodrigo Duterte.

Mayat dua orang tebusan itu, yang diculik bersama 4 lagi krew sebuah kapal kargo Vietnam pada bulan November lalu, telah dijumpai di wilayah selatan Mindanao oleh tentera Filipina pada Rabu, dua hari lalu.

Pihak tentera mendakwa bahawa kumpulan Abu Sayyaf yang aktif menjalankan kegiatan “menculik untuk wang tebusan” adalah dalang disebalik perbuatan itu.

Memetik laporan South China Morning Post, kumpulan tersebut amat terkenal dengan perbuatan memenggal kepala tebusan yang diculik sekiranya wang tebusan tidak dibayar kepada mereka.

Mengulas kejadian itu, Duterte menyatakan bahawa beliau akan memakan hati anggota militan yang terlibat.

“Saya akan memakan hati anda jika anda mahu saya melakukannya. Beri saya garam dan cuka dan saya akan memakannya di hadapan anda,” kata beliau dalam sebuah ucapan.

Selain itu, Duterte, ketika memegang telefon bimbit yang mempunyai gambar dua orang mangsa tersebut, turut memaki hamun kumpulan militan dengan perasaan marah.

“Adakah kita akan membenarkan diri kita untuk diperhambakan oleh orang (militan) seperti ini? Anak sundal,” katanya.

Tahun lepas, presiden berusia 72 tahun itu mengarahkan pasukan tentera untuk melancarkan operasi ketenteraan terhadap Abu Sayyaf dan kumpulan-kumpulan militan lain di selatan negara itu.

Difahamkan, kumpulan Abu Sayyaf yang ditubuhkan pada tahun 1990-an mempunyai banyak puak, di mana segelintir daripada mereka masih meneruskan kegiatan penculikan.

Dalam pada itu, saut puak telah bersumpah taat setia kepada kumpulan militan IS, dan mereka bertempur dengan pasukan keselamatan sejak akhir bulan Mei di Bandar Marawi.

Walaupun pihak tentera melancarkan serangan terhadap militan di bandar itu, mereka tetap tekad untuk mengawal bandar tersebut sehingga mengorbankan lebih daripada 460 nyawa dan menyebabkan  hampir 400,000 penduduk kehilangan tempat tinggal.

Apabila bercakap mengenai militan, Duterte akan menggunakan bahasa-bahasa ekstrim yang kesat.

Tahun lepas, Duterte mengancam untuk memakan militan Abu Sayyaf secara hidup-hidup untuk membalas dendam terhadap insiden pengeboman yang meragut 15 nyawa di Davao, iaitu bandar kelahiran beliau.

Sumber: South China Morning Post

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker