AntarabangsaIsu SemasaPolitik

Perancis: Kerajaan Macron Lancarkan Pelan Reformasi Pro-Perniagaan

Perdana Menteri Perancis, Edouard Philippe telah memperkenalkan program potongan cukai dan perbelanjaan awam yang bermatlamat untuk meningkatkan pelaburan korporat dan menghentikan negara itu daripada membuat pinjaman.

Dalam ucapan dasar pertamanya selepas pilihan raya presiden dan parlimen pada bulan Mei dan Jun lalu, beliau menjadikan perniagaan dan keusahawanan sebagai keutamaan.

“Perniagaan perlu diwujudkan dan dibangunkan dalam wilayah kita dan bukan di tempat lain,” katanya sambil menambah bahawa cukai korporat akan dipotong daripada 33% kepada 25% dalam tempoh 5 tahun akan datang.

Menyifatkan perbelanjaan keterlaluan negara itu sebagai “kronik”, beliau berhasrat untuk memberi keutamaan untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Menurut Philippe, hutang negara keseluruhan adalah 2.1 trilion euro, hampir bersamaan dengan jumlah keluaran ekonomi dalam setahun.

Ujarnya lagi, perbelanjaan awam akan dipotong dan defisit juga akan dikurangkan di bawah 3.0 KDNK pada tahun ini.

“Perancis tidak boleh kekal ‘juara’ dalam kedua-dua perbelanjaan awam dan cukai,” katanya

IKRAR PILIHAN RAYA

Philippe telah menggariskan salah satu rancangan pembaharuan ekonomi terbesar kerajaan, iaitu untuk membaik pulih undang-undang buruh Perancis yang ketat.

Pembaharuan ini akan membolehkan syarikat-syarikat perniagaan untuk berunding terma dan syarat pekerjaan dengan pekerja mereka.

Beliau berkata, kerajaan juga akan melaksanakan ikrar kempen-kempen lain, termasuk memperkenalkan perkhidmatan baru untuk golongan muda serta memberi perkhidmatan percuma bagi penjagaan gigi dan mata dalam sistem kesihatan negara itu.

Sebagai langkah menangani penyakit berkaitan merokok, kerajaan Perancis akan meningkatkan harga rokok secara berperingkat daripada 7 euro kepada 10 euro.

Difahamkan, penyakit berkaitan rokok adalah penyebab utama terhadap kematian yang boleh dicegah di negara itu.

PENILAIAN TERHADAP PRESIDEN BARU, EMMANUEL MACRON

Emmanuel Macron, berusia 39 tahun yang menjadi presiden termuda dalam sejarah Perancis, menyatakan bahawa beliau bukan sahaja berhasrat untuk melakukan pembaharuan semata-mata, tetapi ingin melakukan “transformasi” dalam sistem politik dan ekonomi.

Beliau juga bercadang untuk mengurangkan 1/3 daripada jumlah keseluruhan ahli parlimen di Dewan Perwakilan dan Dewan Negara.

Sekiranya ahli-ahli parlimen tidak bersetuju dengan cadangan itu, beliau akan mengadakan satu referendum (pungutan suara rakyat) sebagai penentu.

Selain itu, beliau telah menerima penilaian berbeza daripada pelbagai pihak sejak pelantikannya sebagai presiden.

“Macron memberikan tugas-tugas yang sukar kepada Philippe,” kata seorang pengkritik, Paul-Henri du Limbert dalam akhbar berhaluan kanan, Le Figaro.

Sejak pelantikannya, personaliti beliau turut menerima kritikan, di mana terdapat pihak yang menggelar beliau sebagai seorang yang suka menyendiri dan sombong.

Tetapi, dalam tinjauan pendapat terkini, lebih daripada setengah responden memberi sokongan dan penilaian positif kepada Macron.

Sumber: The Sun Daily
Show More

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker