AntarabangsaIsu Semasa

Bandar Hanoi Cadang Haramkan Motosikal Menjelang 2030

Motosikal merupakan kenderaan yang amat popular di Vietnam kerana harganya yang berpatutan dan mampu dimiliki oleh orang ramai.

Berdasarkan statistik Kementerian Pengangkutan negara itu pada tahun 2013, daripada 90 juta lebih populasi penduduk di negara itu, 37 juta orang didaftar memiliki motosikal manakala pemilik kenderaan hanya 2 juta orang.

Harga untuk memiliki kenderaan amat mahal kerana cukainya adalah sekitar 100% hingga 200%, jadi kenderaan dilihat sebagai satu kemewahan dan dimiliki oleh golongan kaya.

Cukai untuk motosikal pula jauh lebih murah dan ia menjadi medium pengangkutan pilihan majoriti penduduk.

Walau bagaimanapun, bandar Hanoi, yang mempunyai populasi 7 juta penduduk dan 5 juta buah motosikal, merancang untuk mengharamkan kenderaan itu menjelang tahun 2030.

95 daripada 96 orang ahli Majlis Bandaraya Hanoi sebulat suara menyokong larangan itu dalam usaha untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas dan tahap pencemaran yang semakin membimbangkan.

“Kesesakan lalu lintas dan pencemaran udara akan menjadi serius di masa akan datang jika tiada langkah pengurusan segera yang diambil,” menurut satu laporan di laman web kerajaan bandar itu.

Pihak berkuasa turut berikrar untuk meningkatkan alternatif pengangkutan awam supaya orang ramai akan berhenti menggunakan motosikal.

Cadangan larangan ini juga mendapat pelbagai reaksi di media sosial, positif dan negatif.

“Ini adalah berita menarik, menunjukkan azam yang kuat dari pihak berkuasa untuk menangani kesesakan lalu lintas yang tidak terkawal di bandar itu,” kata seorang penunggang motosikal, Nguyen Nam.

Walau bagaimanapun, ramai rakyat merasa “skeptikal” atau ragu-ragu sama ada kerajaan akan benar-benar menawarkan alternatif pengangkutan awam yang berdaya maju seperti yang dijanjikan.

“Idea ini sangat gila. Motosikal adalah medium pengangkutan yang terbaik di Hanoi. Saya ragu-ragu pihak berkuasa boleh menggantinya dengan pengangkutan awam,” kata Hoang Thuy Duong, seorang pekerja pejabat yang menunggang motosikal setiap hari.

Hanoi tidak mempunyai sistem keretapi bawah tanah dan hanya mempunyai bas awam yang hanya mencakupi 12% permintaan penduduk di bandar itu.

Namun, pihak berkuasa bercadang untuk meningkatkan jumlah itu kepada 50% pada tahun 2030.

Jumlah motosikal berdaftar di Vietnam adalah antara yang tertinggi di Asia Tenggara dan menurut kerajaan Hanoi, bandar itu dijangka akan mempunyai 6 juta motosikal di jalan raya pada 3 tahun akan datang.

Sumber: BBC, Straits Times
Show More

Related Articles

Back to top button