AntarabangsaBisnes & EkonomiIsu SemasaPolitik

Jack Ma: AS Tersilap Langkah Sejak 30 Tahun Lalu

Pengasas Syarikat Alibaba, Jack Ma berpandangan bahawa Amerika Syarikat telah tersilap langkah sejak 30 tahun lalu lagi kerana memberi terlalu banyak tumpuan terhadap peperangan dan Wall Street.

Kenyataan tersebut dikeluarkan oleh beliau ketika berucap di Forum Ekonomi Dunia pada Rabu lepas apabila ditanya mengenai globalisasi dan pelantikan Donald Trump sebagai presiden AS.

“Syarikat antarabangsa Amerika telah meraih keuntungan berjuta-juta dolar daripada globalisasi.

“IBM, Microsoft. Keuntungan yang mereka raih lebih besar daripada gabungan 4 bank utama di China…Tetapi ke mana wang itu pergi?”, ujar beliau.

Ma berkata, 30 tahun lalu, syarikat-syarikat AS yang diketahui oleh penduduk negara China adalah Ford dan Boeing. Hari ini, topik perbualan mereka adalah mengenai syarikat-syarikat di Lembah Silicon (Silicon Valley) dan Wall Street.

Pada masa yang sama, AS juga membelanjakan jumlah wang yang besar dalam konflik luar, di mana negara itu dikatakan telah terlibat dalam 13 peperangan dan menggunakan sebanyak AS$14.2 trilion bagi tujuan itu.

“Sejak 30 tahun lalu, Amerika terlibat dalam 13 peperangan dengan perbelanjaan AS$14.2 trilion….tidak kira sebaik mana pun strategi anda (AS), anda sepatutnya membelanjakan wang tersebut untuk rakyat anda,” ujarnya.

Menurut Ma, krisis kewangan pada tahun 2008 juga telah menghilangkan sebanyak $19.2 trilion pendapatan AS dan wang tersebut sepatutnya boleh digunakan untuk membangunkan industri di Barat Tengah negara itu.

“Wang tersebut pergi ke Wall Street. Kemudian apa terjadi? Tahun 2008. Krisis kewangan menghilangkan $19.2 trilion dalam pendapatan AS….Bagaimana jika wang tersebut dibelanjakan di Barat Tengah Amerika Syarikat untuk membangunkan industri di sana?”, soal beliau.

Ma turut menyelar kenyataan Donald Trump yang sering menuduh negara-negara lain ‘mencuri pekerjaan’ rakyat Amerika, serta menegaskan bahawa ia adalah kesalahan mereka sendiri kerana tidak mengagihkan wang dengan cara yang betul.

“Bukan negara lain yang mencuri pekerjaan daripada anda (AS) – itu adalah strategi anda. Anda tidak mengagihkan wang dengan cara yang betul,” katanya.

Sumber: Independent UK
Tags
Show More

Related Articles

Back to top button