AntarabangsaIsu SemasaTempatan

4 Perkara Yang Perlu Diketahui Tentang “Batu Puteh”

Pulau Batu Puteh atau dikenali sebagai Pedra Branca dalam bahasa Portugis, merupakan sebuah batu tunggul yang luas seperti sebuah padang bola sepak dan terletak di Selat Singapura berhadapan Laut China Selatan.

Nama “Batu Puteh” itu diberi merujuk kepada sekelompok burung camar laut yang menduduki pulau tersebut pada zaman dahulu.

Dari sudut lokasinya, Pulau Batu Puteh terletak berhampiran dengan beberapa pulau lain seperti Batuan Tengah dan Tubir Selatan, di mana perkara ini telah menjadi isu utama yang menyumbang kepada pertindihan antara Singapura dan Malaysia sehingga ia dibicarakan menerusi Mahkamah Keadilan Antarabangsa/International Court of Justice (ICJ).

Lokasi Batu Puteh – Sumber: Sinar Harian

Akhirnya pada 23 Mei 2008, mahkamah telah memutuskan bahawa Pulau Batu Puteh secara rasminya menjadi milik Singapura manakala Batuan Tengah pula untuk Malaysia.

Walau bagaimanapun, kedudukan Tubir Selatan masih belum ditentukan oleh mahkamah sehingga kini.

Dalam artikel ini, kami akan menyenaraikan 4 perkara yang harus diketahui oleh rakyat Malaysia tentang isu ini berdasarkan penulisan pensyarah kanan Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Malaysia, Mohd Hazmi Mohd Rusli di portal berita Astro Awani pada tahun lepas.

1. BATU PUTEH MENJADI MILIK SINGAPURA, BAGAIMANA PULA DENGAN TUBIR SELATAN? 

Kedudukan Tubir Selatan (South Ledge) di Laut Cina Selatan – Sumber: Kosmo

 Pada 23 Mei tahun 2008, ICJ telah menetapkan Batu Puteh di bawah kedaulatan Singapura manakala Batuan Tengah disahkan milik Malaysia.

Di sebelah selatan menghadap Selat Singapura, negara tersebut bersempadanan dengan Pulau Batam dan Pulau Bintan, Indonesia.

Tetapi, bagi status Tubir Selatan, ICJ masih belum membuat sebarang keputusan berkenaan kedudukannya.

Menurut Mohd Hazmi, Tubir Selatan ini hanya akan muncul pada waktu air surut memandangkan ia terletak di kawasan perairan bertindih di antara tanah besar Semenanjung Malaysia, Batu Puteh dan Batuan Tengah.

Oleh itu, negara Malaysia dan Singapura telah menubuhkan satu Jawatankuasa Teknikal Bersama Satu dalam usaha menggariskan sempadan maritim di kawasan sekitar Batu Puteh dan Batuan Tengah serta menentukan hak kedaulatan ke atas Tubir Selatan.

“Sebelum memiliki Batuan Tengah, Singapura tidak boleh membuat sebarang tuntutan wilayah perairan di kawasan Laut China Selatan kerana wilayah induk negara tersebut dibatasi wilayah Johor di kedua-dua sisi – daerah Pontian di Barat dan daerah Mersing di Timur,” kata beliau.

Berdasarkan Artikel 3 LOSC, mana-mana negara berdaulat layak mewujudkan wilayah perairannya sehingga 12 nautika batu (22 kilometer) dari garis dasar (baseline) wilayah daratnya.

Ini bermakna bahawa memandangkan Singapura telah memiliki Batu Puteh Secara Sah, mereka boleh menuntut hak perairan di kawasan terbabit.

Kini, Tubir Selatan juga dituntut oleh kedua-dua Singapura dan Malaysia. Tetapi, disebabkan kedudukannya lebih dekat dengan Batuan Tengah, peluang Malaysia untuk memilikinya adalah lebih besar.

Namun, masih tiada sebarang keputusan yang dibuat oleh kedua-dua buah negara sehingga kini.

 2. BAGAIMANAKAH MALAYSIA DAN SINGAPURA MENETAPKAN SEMPADAN MARITIM DI KAWASAN SEMPIT DI ANTARA BATUAN TENGAH DAN BATU PUTEH?

Jarak antara Malaysia dan Singapura di kawasan Batu Puteh – Sumber: Rusli, 2014

Mohd. Hazmi berkata, Jarak di antara Batuan Tengah dan Batu Puteh adalah lebih kurang 1 kilometer dari satu sama lain.

Oleh itu, memandangkan sesebuah negara boleh menuntut wilayah perairan seluas 12 batu nautika seperti yang termaktub di dalam Artikel 3 LOSC tadi, sudah pasti tuntutan Malaysia dan Singapura akan bertindih.

“Sekiranya tuntutan seperti ini berlaku, adalah baik sekiranya kedua-dua negara dapat mencari formula untuk membahagikan wilayah perairan ini secara equitable atau saksama,” ujarnya lagi.

Senario tuntutan bertindih (Garis merah tuntutan Singapura, garis biru tuntutan Malaysia) – Sumber: Astro Awani

Formula ini boleh diwujudkan melalui cara mengidentifikasikan garis pembahagi tengah di antara tuntutan bertindih ini.

Perkara ini mungkin akan nampak mudah dan ketara, tetapi realitinya, Malaysia dan Singapura harus melihat secara menyeluruh serta mempertimbangkan isu ini dari pelbagai sudut teknikal.

3. DENGAN PEMILIKAN BATU PUTEH, BOLEHKAH SINGAPURAN MENUNTUT ZON EKONOMI EKSKLUSIF (EEZ) DI LAUT CHINA SELATAN? 

Pandangan Batu Puteh dari udara – Sumber: Kaskus.id

Oleh kerana terdapat sebuah rumah api yang dibina di Batu Puteh bernama Rumah Api Horsburgh. Ia telah dibina oleh British sejak tahun 1851, dan Batu Puteh hanya boleh dianggap sebagai sebuah batuan, bukan pulau.

Mohd. Hazmi menjelaskan Artikel 121 (3) LOSC, bahawa batuan hanya boleh menjana wilayah perairan dan tidak boleh mempunyai EEZ atau pelantar benuanya sendiri.

Sekiranya Batu Puteh tiada rumah api tersebut, ia tidak layak untuk didiami oleh manusia.

Untuk pengetahuan anda, sebuah pulau adalah daratan yang dikelilingi air yang tenggelam sewaktu air pasang dan ia juga boleh mendukung kependudukan manusia serta menjana ekonominya sendiri.

Contoh pulau di Malaysia adalah Pulau Langkawi, Pulau Pinang, Pulau Tioman dan lain-lain.

Menurut Artikel 121 (2) pula, pulau-pulau boleh menjana bukan sahaja wilayah perairan, malah EEZ dan pelantar benua.

Oleh itu, Singapura tidak boleh menuntut EEZ di Laut China Selatan kerana ia bukan sebuah pulau, tetapi hanya batuan.

4) ADAKAH TUNTUTAN WILAYAH PERAIRAN OLEH SINGAPURA INI BOLEH BERTINDIH DENGAN WILAYAH PERAIRAN MALAYSIA DAN INDONESIA?

Gambar sekadar hiasan – Sumber: www.sayangi.com

Seperti yang telah dibincangkan, Singapura mempunyai hak untuk menuntut wilayah perairan sejauh 12 nautika batu dari Batu Puteh.

Namun begitu, oleh kerana Batu Puteh di kelilingi wilayah Malaysia (negeri Johor) dan Indonesia (provinsi Kepulauan Riau), Singapura harus berbincang terlebih dahulu bersama kedua-dua negara tersebut dan tidak boleh menuntut wilayah perairan di sana dengan sewenang-wenangnya.

“Sudah pasti tuntutan wilayah perairan yang dibuat oleh Singapura akan bertindih dengan wilayah-wilayah jirannya.

“Oleh itu, ketiga-tiga negara harus berbincang bersama dan cuba menyelesaikan masalah perbatasan maritim ini secara aman dan saksama,” kata Mohd Hazmi.

Sumber: Astro Awani
Show More

Related Articles

Back to top button