AntarabangsaIsu SemasaPolitik

Imej AS Terjejas Teruk Bawah Pentadbiran Trump

Kedudukan Amerika Syarikat (AS) di pentas antarabangsa telah terjejas dengan teruk sejak Presiden Donald Trump mula mentadbir Rumah Putih.

Pew Research Center, sebuah pusat tinjauan pendapat telah melaksanakan kajian di dalam 37 negara yang melibatkan 40,000 responden.

Keputusan mendapati bahawa antara 4 pemimpin utama dunia, Trump berada di kedudukan paling rendah dengan hanya menerima 22% sokongan dan 74% tidak mempunyai sebarang keyakinan terhadap ahli Republikan itu.

27% responden menyokong Presiden Rusia Vladimir Putin, Presiden China Xi Jinping menerima 28% sokongan, dan Canselor Jerman Angela Merkel adalah yang tertinggi dalam senarai itu dengan 42% sokongan.

Sebelum ini, bekas Presiden Barack Obama menerima sokongan yang jauh lebih tinggi, iaitu 64% ketika era pemerintahannya.

“Trump dan banyak dasar-dasar utamanya tidak popular di seluruh dunia, dan penarafan AS telah menurun dengan mendadak di banyak negara,” kata pusat itu dalam laporan mereka.

Sokongan terhadap Trump amat rendah dalam negara-negara yang dianggap sebagai sekutu lama AS, termasuk Eropah, Asia, serta Mexico dan Kanada.

Dalam kategori Trump “melakukan perkara yang betul dalam hal ehwal dunia,” keyakinan terhadap beliau mencatatkan 10% di Sweden, Jerman (11%), Perancis (14%), Sepanyol (7%) dan United Kingdom (22%).

Hanya dua buah negara sahaja, Rusia dan Israel memberi keyakinan tinggi terhadap Trump berbanding Obama.

Menurut laporan Pew Research Center, lebih setengah daripada penduduk Rusia mempercayai bahawa hubungan AS-Rusia akan bertambah baik di bawah pentadbiran Trump.

Trump yang berpendirian tegas terhadap rancangannya untuk Israel semasa dan selepas berkempen juga menjadi antara faktor utama jutawan hartanah itu menerima penarafan tinggi di Israel.

Selain itu, Trump turut melantik anak menantunya, Jared Kushner dalam Rumah Putih, dan Kushner adalah rakan rapat keluarga bersama Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.

Berdasarkan kajian itu, punca Trump menerima penarafan rendah adalah kerana dasar-dasarnya dan juga personaliti dirinya.

Keputusan beliau untuk menarik diri dari perjanjian perdagangan antarabangsa dan perjanjian iklim Paris telah mengurangkan keyakinan masyarakat terhadapnya dengan drastik.

Malah, kebanyakan responden di seluruh dunia menganggap Trump sebagai seorang yang “sombong, tidak bertoleransi, dan juga bahaya.”

Pew Research Center menyatakan bahawa daripada 5 dasar antarabangsa yang dirancang oleh beliau, tiada satu pun yang diterima dengan baik oleh masyarakat dunia.

Antara rancangan utama Trump yang ditolak adalah pembinaan tembok besar di sempadan AS-Mexico, di mana hanya 19% responden bersetuju manakala 76% membantahnya.

Dalam pada itu, rancangannya untuk mengenakan larangan terhadap masyarakat Islam pula menyaksikan bantahan oleh majoriti responden (62%) dan hanya disokong oleh 32% responden.

Sumber: Politico, Anadolu Agency
Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker