“Kehilangan sahabat saya membuat saya menyedari kehidupan terlalu pendek,” kata Karen, yang kini merupakan pemilik perniagaan air dibotolkan, Belu . “Saya mahu melakukan sesuatu yang bersifat lebih peribadi.”
Tamparan hebat buat Karen Lynch apabila seorang sahabat meninggal dunia dan dirinya mengalami masalah kesihatan. Hal ini membuat Lynch memutuskan untuk meninggalkan dunia korporat.
Maka pada tahun 2008, ketika berusia 38 tahun, Karen meletakkan jawatan sebagai pekerja senior di kumpulan perbankan Barclays.

Sedang menghidapi diabetes jenis 1, dia dan suaminya mengembara ke seluruh Caribbean, Vietnam dan Thailand selama enam bulan.
Permulaan Langkah Keusahawanan Karen
Apabila kembali ke UK Karen memohon dan mendapat pekerjaan sebagai pengarah pemasaran di Belu, firma air botol neutral karbon pertama di UK serta merupakan sebuah syarikat sosial yang memberikan semua keuntungannya kepada badan amal.
Neutral karbon atau “mempunyai jejak karbon sifar” merujuk kepada tiada pelepasan gas rumah hijau atau jejak karbon.
Malangnya, pada masa itu ia tidak menjana sedikitpun wang. Ditubuhkan di London pada tahun 2004, pada tahun 2008 ia dibebani dengan jumlah hutang sebanyak £ 1.9 juta (RM 10.37 juta).
Karen menyedari bahawa Belu memerlukan perubahan besar jika ia ingin berjaya, dan selepas menjalankan pelan perniagaan yang menggambarkan wawasannya, lapan bulan kemudian dia dinaikkan pangkat menjadi ketua eksekutif.
Rancangannya adalah untuk menjauhkan perniagaan dari pasar-pasar raya dan margin rendah mereka, sebaliknya memberi tumpuan menyediakan bekalan kepada hotel, restoran dan pejabat yang lebih menguntungkan.

Belu telah diasaskan oleh pembuat filem Reed Paget, yang meletak jawatan dari jawatannya supaya Karen boleh menggantikannya. Karen menyimpan nama asalnya, tetapi semuanya telah berubah.
Kejayaan Belu
Pelan perniagaannya begitu berjaya sehingga jualan telah melonjak, dengan pendapatan tahunan mereka bernilai sebanyak £ 5.9 juta (RM 32.22 juta) pada tahun 2015.
Malah, sejak tahun 2011 Belu telah menyumbang lebih £ 1.5 juta (RM 8.19 juta) kepada WaterAid, badan amal global yang bertujuan untuk memberi lebih ramai penduduk dalam negara membangun akses terhadap air minuman yang selamat dan sistem sanitasi yang baik.

Hubungan Perniagaan Belu
Karen mengatakan bahawa hotel dan restoran berminat menyertai program ini kerana mereka mengalu-alukan komitmen Belu terhadap amalan terbaik bagi alam sekitar. Jadi Karen memutuskan untuk menguatkan dan mempromosikan perkara ini sebanyak yang mungkin.
Selain neutral karbon, dan memberi sebahagian wang kepada WaterAid, botol-botol tersebut diperbuat daripada kaca dan plastik yang telah dikitar semula.

Karen menjelaskan bahawa Belu mencipta hubungan dengan restoran yang percaya akan misi mereka, dan restoran yang mana pelanggannya gembira melihat jenama Belu kerana mereka memahami dan menghargai kerja yang dilakukan jenama ini.
Karen mengatakan bahawa begini lebih baik daripada “berebut untuk ruang rak di pasar raya dan perlu membiayai kos promosi di pasar raya”.

Ancaman Kesihatan Karen
Ketika Belu sedang berkembang, Karen terpaksa berhadapan dengan ancaman kesihatan lain pada tahun 2016.
“Tahun lepas adalah tahun yang sangat sukar. Saya menghidap kanser payudara – saya bersyukur saya tidak perlu melalui kemoterapi, serta dapat menyimpan rambut saya,” katanya. “Saya benar-benar penat sepanjang musim panas itu, namun pasukan saya telah buat kerja mereka dengan hebat.
Kanser tersebut telah berjaya dikeluarkan, dan dia mengatakan bahawa kerjanya merupakan sumber gangguan yang baik.
“Memang jelas pada ketika itu saya perlu berehat beberapa hari di rumah, tetapi apabila kerjaya anda merupakan minat anda dan memberikan anda tujuan, ia memberi anda semangat untuk pergi ke tempat kerja”.
Dia menambah bahawa apabila dia benar-benar kepenatan pada masa yang sukar itu, dia berfikir tentang betapa lebih sukar bagi seorang kanak-kanak “berumur enam tahun berjalan lapan jam sehari semata-mata ingin mendapatkan air”. Ini membuatkannya menyedari bahawa kanser yang dihadapinya “bukanlah sebuah masalah besar”.
Untuk membantu mengurangkan jejak karbon Belu, Karen menggalakkan tenaga kerja seramai 34 orang itu, jika boleh untuk bekerja dari rumah. Hal ini bagi menghapuskan keperluan untuk kerap berulang dari rumah ke pejabat dan sebaliknya. Dia sendiri tinggal di kawasan luar bandar Warwickshire, dan biasanya ke pejabatnya di London hanya untuk dua atau tiga hari dalam seminggu.
“Yang pentingnya tidak perlu ke pejabat jika anda boleh bekerja di rumah.”
Karen Berminat Mendidik Pemuda Yang Ingin Memulakan Perniagaan Sosial
Apabila tidak mengetuai Belu, yang airnya di botolkan di Shropshire, Karen menyediakan masa untuk membantu pemuda yang juga ingin mencapai perubahan sosial yang positif.
Dia juga baru-baru ini mengambil bahagian dalam perbincangan panel untuk Chivas Venture, sebuah pertandingan untuk usahawan sosial yang dianjurkan oleh jenama wiski, Chivas Regal.

“Saya suka bidang kerja saya yang ini,” kata Karen, yang telah berkahwin serta mempunyai dua orang anak. “Ia mengingatkan saya keadaan saya tidaklah teruk sangat, dan mengingatkan saya tentang kemajuan yang telah kami capai.”
Dia menambah bahawa dia berminat untuk mendidik individu tentang realiti menjalankan perniagaan yang bukan untuk keuntungan.
“Memulakan dan menjalankan perniagaan sosial adalah sebuah perkara yang baik dan mengagumkan. Ia memerlukan kemahiran untuk melakukan sesuatu yang luar biasa, namun begitu ia sebenarnya lebih sukar daripada yang anda fikirkan.”
Sumber: bbc